HomeUtamaProjek naik taraf Hospital Tawau dijangka siap akhir tahun ini

Projek naik taraf Hospital Tawau dijangka siap akhir tahun ini

Read Time:1 Minute, 52 Second

TAWAU : Projek naik taraf Hospital Tawau yang mengalami kelewatan hampir dua tahun dijangka akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sasaran itu adalah berdasarkan perbincangan bersama kontraktor dan pemantauan yang diambil Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan pelaksanaan mengikut jadual yang ditetapkan.

“JKR akan memantau rapi pelan mitigasi dan kemajuan kerja kontraktor serta menilai prestasi pihak Kontraktor mengikut laporan kemajuan kerja mingguan yang perlu dihantar.

“JKR juga tidak teragak-agak untuk mengeluarkan amaran kepada kontraktor sekiranya sasaran kerja didapati tidak dicapai,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan disini hari ini.

Arthur berkata, sehingga 31 Mac lalu, projek itu berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan dengan kemajuan kerja sebanyak 70 peratus di samping sasaran kemajuan kerja yang ditetapkan pada empat peratus setiap bulan perlu dicapai oleh kontraktor bagi memastikan baki kerja dapat disiapkan.

Katanya, kemajuan kerja di tapak pembinaan dijangka akan terus meningkat dengan mengambil kira pembekalan peralatan bagi kerja-kerja mekanikal, elektrik dan ICT serta peralatan perubatan dijangka tiba bermula bulan ini.

“Naik taraf Hospital Tawau telah dimulakan pada tahun 2017 dan dijadualkan siap pada suku kedua tahun 2020.

“Namun projek tersebut mengalami kelewatan akibat penularan COVID-19 yang menjadi antara punca kelewatan tersebut termasuklah masalah struktur tanah di tapak projek dan kesan rantaian akibat Pandemik COVID-19,” katanya.

Katanya selain itu impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan turut menjadi faktor kelewatan dan kekurangan pekerja tempatan,asing serta kelewatan bahan binaan akibat penutupan kilang.

“Bagi mengatasi isu kekurangan pekerja, pihak kontraktor telah memberikan komitmen untuk meningkatkan pengambilan serta pekerja tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Bangunan baru hospital akan menambah sebanyak 154 buah katil dan menjadikan jumlah keseluruhan termasuk di hospital lama sebanyak 555 buah katil,” katanya.

Antara kemudahan lain termasuk enam bilik bedah, empat suite endoskopi, tambahan kapasiti 30 unit haemodialisis, bahagian kecemasan baru, klinik-klinik pakar, sebuah auditorium yang boleh memuatkan 250 orang serta pelbagai kemudahan lain termasuk sebuah helipad.

Apabila siap kelak, projek ini akan menjadi hospital terbesar di Pantai Timur Sabah dan hospital rujukan bagi daerah-daerah berdekatan.

Sehubungan itu, JKR Malaysia akan memastikan bangunan baharu itu dapat disiapkan menjelang hujung tahun selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menyediakan kemudahan kesihatan terbaik untuk Keluarga Malaysia.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS utamakan kebajikan pelajar, sedia bantu Crisnanalina daftar pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular