HomeUtamaPemerkasaan jenama tunggal bantu produk agromakanan tembusi pasaran antarabangsa 

Pemerkasaan jenama tunggal bantu produk agromakanan tembusi pasaran antarabangsa 

Read Time:2 Minute, 13 Second

BERNAMA

CYBERJAYA — Lebih banyak produk industri asas tani (agromakanan) negara dijangka menembusi pasaran antarabangsa melalui kolaborasi strategik awam-swasta menerusi pemerkasaan single branding (jenama tunggal) di bawah inisiatif Malaysian Export Management Company – EMC (MyEMC).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata di bawah inisiatif itu, usaha penerokaan pasaran antarabangsa dikonsolidasikan melalui pengukuhan peranan syarikat Malaysia sebagai EMC Malaysia di luar negara.

“Inisiatif ini merupakan kolaborasi strategik awam-swasta dengan penglibatan pemain industri berkaitan yang terdiri daripada usahawan pengeluar, pengeksport, pengimport luar negara dan pemasar di luar negara.

“Ia bertujuan untuk mengatasi permasalahan penembusan pasaran, pemasaran dan juga promosi produk agromakanan di sesebuah negara pengimport,” katanya selepas sesi flag off pengeksportan produk agromakanan ke Jepun di sini hari ini.

Sesi Flag Off yang dilaksanakan EMC di Jepun iaitu SD Impex Japan Co, Ltd itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli dan Setiausaha Bahagian Pembangunaan Perniagaan dan Pelaburan (BDI) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Khalid Ibrahim.

Beliau berkata buat masa ini, MAFI memfokuskan pengukuhan tiga EMC masing-masing di Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Selatan Thailand.

“Untuk itu, MAFI juga mempelawa mana-mana syarikat pengeluar dan usahawan tempatan yang ingin menjalinkan kerjasama dengan MAFI di bawah inisiatif jenama tunggal MyKitchen bagi penembusan pasaran global di negara-negara lain,” katanya. 

Beliau berkata melalui Pejabat Penasihat Pertanian (PPP) di Tokyo, Jepun, yang dipantau BDI, kerjasama strategik bersama SD Impex Japan Co, Ltd berjaya meningkatkan jumlah eksport sebanyak 992 karton melibatkan 36 Stock Keeping Unit (SKU) terdiri daripada lebih 50,000 unit produk Ready to Eat (RTE), Ready to Drink (RTD) dan Ready to Cook (RTC).

Ia adalah keluaran 13 syarikat pengeluar dan usahawan seluruh negara dan diletakkan di bawah jenama tunggal MyKitchenkatanya.

Beliau berkata kejayaan itu secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan nilai perdagangan agromakanan antara Malaysia dan Jepun tahun ini berbanding US$1.21 bilion (RM5.18 bilion) dicatatkan tahun lepas seterusnya menyumbang kepada trend pemulihan dan akses pasaran luar negara kepada produk jenama Malaysia,” katanya. 

Katanya setakat April ini, sebanyak 70 SKU produk agromakanan terpilih melibatkan pelbagai syarikat pengeluar dan usahawan di bawah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan telah dipromosi dan dipasarkan di Jepun, berbanding hanya 12 SKU semasa inisiatif itu mula diperkenalkan pada 2020.

Terdahulu Ronald menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MOU) SD Impex Japan Co, Ltd dengan usahawan agromakanan bagi promosi dan pemasaran produk itu di Jepun sekali gus memperkukuh jenama MyKitchen dan MyKitchen Fresh di negara matahari terbit itu. 

RELATED ARTICLES
Utama

Angin kencang landa Semporna, 35 rumah dan 20 kenderaan terjejas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular