797 outlet pemasaran dibuka sempena jualan Semarak Syawal

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 52 Second

KUCHING : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka sebanyak 797 outlet pemasaran di seluruh negara sempena jualan Semarak Syawal yang bermula semalam sehingga 2 Mei depan.

Outlet itu terdiri daripada Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Agrobazaar Rakyat (ABR), Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), My Farm Outlet (MFO) dan Medan Niaga Satok (MNS).

Konsep outlet-outlet pemasaran ini adalah bertujuan bagi memberi peluang kepada usahawan mengadakan jualan semasa sambutan Aidilfitri yang mendapat permintaan tinggi dari kalangan pengunjung dan pengguna  yang boleh mendapatkan barangan keperluan perayaan Aidilfitri di outlet fizikal dengan penjimatan pembelian terus dari pengeluar.

Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-kuih untuk keperluan Hari Raya Aidilfitri yang turut dijual di semua outlet pemasaran ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, FAMA akan memastikan bekalan di setiap lokasi ini mencukupi dan para pengguna tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan keperluan.

Katanya, pihaknya memberi jaminan bahawa bekalan daging, ayam, sayur-sayuran dan kelapa mencukupi untuk sambutan Aidilfitri dan pengguna tidak akan menghadapi masalah untuk mendapatkan barang keperluan itu.

“Dengan pengoperasian 797 outlet pemasaran ini melalui Program Jualan Semarak Syawal pada kali ini, seramai 15,391 orang usahawan akan mendapat manfaat melalui penyediaan ruang-ruang jualan dan program promosi khas Syawal.

“Nilai jualan di outlet pemasaran yang disediakan ini disasarkan akan mencecah sehingga RM25 juta manakala nilai jualan MNS dijangka akan mencapai sebanyak RM1 juta sepanjang jualan semarak syawal iaitu 24 April hingga 2 Mei depan,” katanya.

Untuk rekod, MNS adalah projek usahasama antara FAMA dengan pihak Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Perumahan Sarawak.

Projek ini menyediakan sebuah pasar yang berkonsep moden, bersih, teratur dan lengkap dengan sistem pengurusan sisa buangan yang terkini yang dibina bertujuan menggantikan Pasar Satok di lokasi Jalan Satok yang makin usang dan tidak lagi sesuai berikutan masalah saliran, persekitaran yang kotor dan kesesakan lalu lintas.

Program Jualan Semarak Syawal juga akan diadakan pada 30 April 2022 di Pasar Tani Datin Halimah, Johor Baharu yang dijangka akan mendapat kunjungan lebih 2,000 orang termasuk warga Singapura bagi mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri.

Program ini dilihat sebagai salah satu kaedah bagi merancakkan kembali ekonomi domestik dengan peningkatan permintaan pengguna.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *