HomeUtamaPemandu lori dipenjara 15 tahun, 8 sebatan cedera isteri dan keluarga mentua 

Pemandu lori dipenjara 15 tahun, 8 sebatan cedera isteri dan keluarga mentua 

Read Time:2 Minute, 10 Second

KOTA TINGGI: Hanya kerana selisih faham akibat wang, seorang pemandu lori dipenjara 15 tahun dan lapan sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan mencederakan ahli keluarganya dengan sebilah parang panjang, 14 April lalu.

Tertuduh, Hadi Hashim, 38, membuat pengakuan berkenaan bagi kempat-empat pertuduhan yang dihadapinya ketika dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norsiah Ujang.

Dia yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa menyebabkan cedera parah ke atas ibu mentuanya, Puasa Yasik, 57, menggunakan sebilah parang panjang di Jalan Siakap 5, Kampung Sedili Kecil, kira-kira pukul 8.22 malam, pertengahan bulan ini lapor portal Utusan.

Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama ke atas isterinya, Norwahida Rosli, 33, dan dua adik iparnya iaitu Norwadiha Rosli, 32, serta Mohamad Amirul Iskandar Kamaruzaman, 16, di lokasi dan waktu yang sama.

Ekoran kesalahan itu, Hadi didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat bagi Seksyen 326.

Mengikut Seksyen 326A, tertuduh boleh dihukum dengan penjara bagi satu tempoh sehingga dua kali ganda tempoh maksimum yang mana boleh dipenjara maksimum 40 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK), Nur Shuhadah Mahzan.

Nur Shuhadah sebelum itu membuat rayuan terhadap hukuman tertuduh kerana lelaki itu mempunyai keluarga dan tanggungan dua orang anak kecil berusia lima tahun dan tiga bulan serta hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan gaji sebanyak RM1,300 sebulan.

Hujahnya, punca selisih faham tersebut adalah kerana wang bernilai RM4,000 di mana ketika kejadian, tertuduh baru pulang bekerja dan telah diasak berkenaan duit tersebut oleh ibu mentuanya.

Tambahnya, disebabkan keadaan diri tertuduh yang penat menyebabkan dia hilang pertimbangan ketika itu, namun telah ke balai polis untuk menyerah diri tidak lama kemudian selain insaf dan sedar serta tidak akan mengulangi perbuatan sama.

Namun, Muhammad Irsyad memohon mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh dan tertuduh tidak wajar dikenakan hukuman minimum ekoran kesalahan serius dilakukan.

Katanya, justifikasi kerana wang yang menyebabkan tertuduh melakukan perbuatan itu termasuk ke atas ibu mentua yang merupakan warga emas dan salah seorang adik iparnya yang juga seorang pelajar sekolah tidak wajar sehingga menyebabkan cedera parah ke atas semua mangsa yang kini masih trauma.

Menurut Muhammad Irsyad, hukuman berat dikenakan bukan sahaja memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi kepada kepentingan awam supaya tragedi hitam itu tidak berulang lagi kepada orang lain.

Norsiah kemudian memerintahkan tertuduh menghadapi hukuman 15 tahun penjara dan dua sebatan atas setiap pertuduhannya yang berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditahan

RELATED ARTICLES
Utama

MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan tahap waspada di Sabah, Labuan hari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular