CYBERJAYA — Rakyat Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam dihukum mati oleh Singapura hari ini.
Adiknya, Navin Kumar mengesahkan kepada Reuters bahawa hukuman gantung tersebut dijalankan pagi ini dan upacara pengurusan mayat akan diadakan di Ipoh.
Nagaenthran yang berasal dari Perak ditahan oleh pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 kerana menyeludup 42.72g dadah jenis diamorphine dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 Nov 2010.
Sebulan lepas, Mahkamah Rayuan Singapura mengekalkan hukuman tersebut.
Semalam, mahkamah tersebut turut menolak cabaran undang-undang yang difailkan oleh ibu Nagaenthran dalam percubaan terakhir untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.
Asas kepada cabaran undang-undang itu adalah hakim Sundaresh Menon yang mempengerusikan prosiding dan menolak rayuan Nagaenthran sebelum ini adalah peguam negara yang mendakwa Nagaenthran dan memastikan sabitannya.
Selepas permohonan ibunya ditolak, mahkamah membenarkan Nagaenthran berpegangan tangan dengan ahli keluarganya yang hadir di kamar mahkamah.
Lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan mempunyai tahap IQ 69, yang dikategorikan sebagai kurang upaya dari segi intelek.
Dia pada awalnya dijadualkan menjalani hukuman pada 10 Nov 2021, namun ditangguhkan selepas mahkamah diberitahu dia dijangkiti Covid-19 sehari sebelumnya.
Kes Nagaenthran menarik perhatian komuniti antarabangsa dengan jutawan British Richard Branson dan pelakon Stephen Fry antara individu yang menggesa agar Singapura menyelamatkan nyawanya.
Pada 7 Nov 2021, dilaporkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menulis kepada rakan sejawatannya di Singapura, Lee Hsien Loong, memohon kelonggaran dalam kes itu.
Pada 3 Dis, Presiden Singapura Halimah Yacob berkata, Nagaenthran telah menjalani proses sewajarnya sepenuhnya mengikut undang-undang.