Polis Cadang Kawalan Keselamatan Dipertingkatkan Kepada Pihak Bank-Bank Sekitar Daerah Penampang Sempena Cuti Hari Raya

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PENAMPANG: Sebanyak 13 wakil daripada pihak bank-bank di seluruh daerah Penampang hadir dalam satu mesyuarat bersama pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk membincangkan mengenai kawalan keselamatan dipertingkatkan di premis masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidifitri ini.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pada 27 April lalu, pihak IPD Penampang telah mengadakan satu mesyuarat bersama pihak bank-bank sekitar daerah penampang untuk membincangkan mengenai kawalan keselamatan dan menyemak sistem kawalan yang sedia.

“Dalam perbincangan itu, pihak polis telah memberikan beberapa langkah kepada pihak bank ambil tindakan sepanjang tempoh perayaan iaitu lima hari cuti Hari Raya Aidilfitri, kami tidak mahu pihak bank ini disabotaj dari pihak lain untuk mengambil duit. Kami tidak mahu apa yang berlaku dahulu seperti kejadian mesin ATM diletupkan.

“Susulan kejadian itu kami telah mencadangkan kepada pihak bank untuk mengadakan kawalan keselamatan sendiri.

” Ini adalah tujuan perjumpaan pihak bank bekerjasama dengan polis untuk menimbulkan kesedaran mereka sendiri supaya menjaga premis mereka sepanjang cuti Hari Raya ini. Tanggungjawab polis tetap kita jalankan seperti rondaan, kita ada rancang rondaan kita dari pelbagai bahagian atau kawasan bank-bank komersial ini supaya tidak ada peluang kepada penjenayah melakukan khianat kepada harta benda ataupun mesin ATM,” katanya semasa ditemui pemberita selepas pelancaran OP SELAMAT 18/2022 sempena Hari Raya Aidilfitri di Kg Meruntum Lok Kawi, Putatan semalam.

Menurut Mohd Haris, pihaknya juga mencadangkan dalam premis bank ini ada mempunyai pengawal keselamatan untuk tempoh 24 jam sekurang-kurangnya dua org pengawal keselamatan ditempatkan kerana mengurangkan risko sekiranya berlaku ancaman dari pihak penjenayah.

“Kami juga mencadangkan sistem yang ada di premis tersebut seperti alat penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) serta apa juga langkah-langkah pihak bank ambil untuk menjaga keselamatan mestilah disemak semula dan ianya berfungsi dalam masa tempoh bercuti ini,” katanya.

Beliau juga memaklumkan kepada pihak bank supaya menghubungi pihak polis sekiranya terjadi apa-apa dan telah memberikan nombor telefon bilik gerakan IPD Penampang dan juga nombor-nombor pegawai berkaitan.

Katanya, kesemua wakil pihak bank yang terlibat dalam perbincangan itu berasa teruja dan gembira kerana ini adalah kali pertama mereka dijemput untuk berbincang mengenai perkara tersebut. Mereka menerima baik inisiatif yang dicadangkan oleh pihak polis.

“Mereka (pihak bank) akan membawa cadangan itu ke pihak pengurusan bank masing-masing,” ujarnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *