COVID-19 : Kerajaan Sabah rakam penghargaan kepada petugas barisan hadapan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah merakamkan penghargaan kepada semua pekerja di negeri ini khususnya petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus memerangi virus COVID-19 sehingga berjaya mencapai hasil terendah hanya 14 kes yang dilaporkan pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tahap pematuhan yang tinggi kepada prosedur standard operasi (SOP) dikalangan rakyat juga merupakan faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan membendung penularan COVID-19.

“Perang melawan COVID-19 belum selesai. Tanggungjawab tersebut kini dipikul oleh orang ramai melalui sikap dan gaya hidup kita yang perlu menitikberatkan keselamatan kesihatan diri dan keluarga.

“Mulai hari ini pelbagai kelonggaran SOP berkuatkuasa diseluruh negara sesuai dengan tempoh peralihan negara kita kepada fasa endemik,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, adalah diharapkan semua lapisan masyarakat akan terus mengamalkan sikap yang bertanggungjawab bagi memastikan angka jangkitan di Sabah kekal rendah.

Katanya, perayaan Pesta Kaamatan turut dilancarkan di Keningau pada hari ini selain umat Islam juga akan menyambut perayaan Aidilfitri dalam beberapa hari lagi.

“Alangkah baiknya sekiranya sambutan kita kepada kedua perayaan ini tidak sedikit pun menjejaskan momentum kita memenangi perang melawan COVID-19. Semua bergantung kepada sikap kita sendiri semasa menyambut kedua perayaan ini,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, angka jangkitan yang terendah dilaporkan pada hari ini adalah antara angka terendah sejak virus COVID-19 dikesan di Sabah pada 12 Mac 2020.

Katanya, ini juga merupakan penurunan sebanyak 34 kes berbanding jumlah semalam.

“Hanya lima  daerah daripada 27 daerah di Sabah merekodkan jangkitan baharu, iaitu Kota Kinabalu 6 kes (-6), Sandakan 4 kes (-2), Papar 2 (+2), dan masing2 satu kes di Beluran dan Kunak. Tidak ada kes baharu dikesan di 22 daerah lain dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Sebanyak 13 daripada 14 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2 sementara satu kes lagi dalam Kategori 3. Tidak ada kes baharu dalam Kategori 4 dan Kategori 5,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *