HomeUtamaPeralihan ke endemik, berkat usaha semua pihak - Tun Juhar

Peralihan ke endemik, berkat usaha semua pihak – Tun Juhar

Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU : Kerjasama semua pihak dalam memerangi penularan virus COVID-19 khususnya di negeri ini telah membantu dalam kejayaan negara beralih ke fasa endemik bermula 1 April lalu.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, menerusi fasa peralihan itu, kerajaan telah membenarkan kembali aktiviti sembahyang sunat Aidilfitri berjemaah, selain aktiviti ziarah sama seperti sebelum terjadinya pandemik COVID-19.

Katanya, kelonggaran itu pasti melegakan banyak pihak bagi membolehkan rakyat menyambut dan meraikan Aidilfitri denga lebih meriah.

“Justeru saya menyeru seluruh lapisan rakyat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang masih berkuatkuasa pada fasa endemik demi kebaikan bersama.

“Selain itu, saya turut menyeru kepada seluruh warga khususnya umat Islam supaya memanfaatkan ruang yang ada untuk menyuburkan lagi hubungan silaturahim melalui amalan ziarah antara kaum keluarga, jiran tetangga dan rakan taulan sambil bertanya khabar dan bermaaf-maafan,” katanya.

Tun Juhar berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1443H/2022M di Istana Seri Kinabalu di sini kelmarin.

Katanya, amalan ziarah juga merupakan asas kepada pembinaan masyarakat harmoni yang dikehendaki oleh semua pihak.

Dalam pada itu, Tun Juhar turut menyarankan agar kegembiraan di bulan Syawal ini dikongsi bersama dengan golongan masyarakat yang kurang bernasib baik.

“Golongan fakir, miskin, anak-anak yatim dan mereka yang terkesan musibah sebelum ini hendaklah disantuni dengan amalan sedekah, wakaf dan khidmat bakti.

“Amalan mulia ini bukan sahaja dapat meringankan bebanan hidup yang mereka derita, malah ia juga berupaya merapatkan jurang perbezaan sosial sekaligus mengeratkan tali silaturahim antara golongan berada dengan golongan yang kurang berkemampuan.

“Sifat cakna kepada golongan marhaen berpotensi menjana budaya masyarakat penyayang di kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini,” katanya.

Dalam perutusan berkenaan, beliau turut mengajak umat Islam agar tidak leka terhadap aspek keselamatan dan kesihatan walau di mana dan apapun aktiviti yang dilakukan termasuk semasa berada di jalan raya yang merupakan antara lokasi sering berlakunya kemalangan.

Tambahnya, jasa dan pengorbanan semua cabang pasukan keselamatan tidak harus dilupakan atas bakti khidmat yang telah dicurahkan tanpa berbelah bahagi dalam menjaga dan memelihara keselamatan rakyat dan negara tanpa mengira situasi.

Mengakhiri perutusannya, Tun Juhar dan keluarga mengucapkan Salam Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh masyarakat semoga Aidilfitri tahun ini lebih meriah dengan pengukuhan ukhuwah dan perpaduan masyarakat.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular