Stesen kereta api Sembulan dinaik taraf, beri keselesaan kepada pengguna

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Stesen kereta api di Sembulan akan di naik taraf bagi memastikan para pengguna akan lebih selesa dan teratur serta kondusif menggunakan perkhidmatan yang disediakan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya menerusi JKNS akan melaksanakan perancangan yang lebih baik bagi tujuan menaik taraf stesen berkenaan.

Katanya, ini termasuklah mewujudkan ruang perniagaan yang akan dapat meningkatkan lagi imej perkhidmatan kereta api di negeri ini.

“Perjalanan menggunakan kereta api adalah alternatif pengangkutan awam yang bukan sahaja digunakan saban hari oleh  orang ramai malah turut digunakan oleh kakitangan awam yang berulang alik ke Kinarut; Papar; Membakut; Beaufort dan kawasan berhampiran.

“Maka wajar untuk JKNS mempertingkatkan lagi kemudahan dan perkhidmatan kereta api ini,” katanya selepas mengagih-agihkan pek  berbuka puasa kepada penumpang di stesen kereta api Sembulan di sini kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Datuk Mohd Jasmin Julpin , Timbalan Setiausaha Tetap II  KKRS Hassan Mahali dan Pengarah JKNS  Leonard Stephen Poyong.

Dalam pada itu Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, JKNS turut bercadang untuk menyediakan bas pengangkutan bagi kakitangan kerajaan dari pelbagai jabatan yang berdekatan untuk membawa mereka ke stesen kereta api Sembulan selepas habis masa bekerja.

Ketika diminta mengulas mengenai perkhidmatan kereta api antara Beaufort ke Tenom,Bung berkata ianya telah mula beroperasi seperti sediakala  dan telah memulihkan perkhidmatannya  pada 27 April lalu.

Dalam perkembangan lain, Bung  turut meminta orang ramai agar sentiasa  menjaga aspek keselamatan diri terutamanya di jalan raya apabila memandu semasa balik ke kampung halaman masing-masing.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *