Pembuli Lebuh Raya Karak direman polis 

Read Time:1 Minute, 21 Second

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu Toyota Alphard yang menjadi pembuli jalan raya  di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak akhirnya direman polis hari ini bagi membantu siasatan kes walaupun cuti umum Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam pukul 10 pagi tadi untuk memohon perintah tahanan reman.

“Suspek lelaki tempatan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan permohonan reman dikemukakan sebelum mahkamah membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 4 Mei 2022 untuk membantu polis meneruskan soal siasat dan melengkapkan siasatan kes tersebut,” katanya lapor MalaysiaGazette hari ini.

Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu pada pagi Ahad lalu, polis telah mengesan penularan video berdurasi berdurasi dua minit 25 saat di media sosial yang memaparkan pemandu Toyota Alphard berwarna putih dipandu secara berbahaya di Kilometer (KM) 25.1 hingga KM 27.5 Lebuh Raya Karak arah Genting Sempah.

Dalam video berkenaan, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) itu telah didapati cuba memotong Q menggunakan lorong kecemasan dan perbuatan itu telah dirakam menggunakan dashcam kereta pengguna lebuh raya berkenaan.

Pemandu MPV itu juga didapati telah menghalang laluan pengadu dengan melakukan brek secara mengejut dan menyerongkan kenderaannya dengan niat provokasi terhadap pengguna lain atas jalan raya.

Rentetan kejadian itu polis telah mengeluarkan arahan supaya suspek tampil menyerah diri secara sukarela bagi memudahkan siasatan.

Kemudian Polis Daerah Gombak telah melancarkan operasi memburu suspek sebelum lelaki tempatan lingkungan umur 43 tahun itu berjaya ditangkap di perkarangan Bahagian Siasatan dan Perundangan Trafik Ibupejabat Polis Daerah Gombak kira-kira pukul 2 petang semalam

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.