BELURAN: Penganjuran ‘Ampalud De Padau’ atau perlumbaan bot boleh ditonjolkan sebagai salah satu produk pelancongan di daerah Beluran.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, keunikan acara itu yang memaparkan kemahiran golongan nelayan mengendalikan bot kecil dan hanya terdapat di daerah Beluran.
“Penganjuran acara ini (Ampalud De Padau) boleh ditambah baik dan diperbaiki yang boleh dijadikan tetapan masyarakat luar Beluran.
“Pada masa sama, boleh dijadikan produk pelancongan yang mampu menjana ekonomi masyarakat di Beluran,” katanya kepada media selepas merasmikan Ampalud De Padau di Kampung Bukit Besi di sini semalam.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk Samad Jambri.
Ronald berkata, penganjuran acara seperti ini akan dapat memupuk perpaduan erat masyarakat dari pelbagai kaum di kawasan Parlimen Beluran.
Dalam pada itu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata Ampalud De Padau merupakan program tahunan yang dibuat kalangan masyarakat nelayan dari suku kaum Tidong di Beluran.
Katanya, acara ini mengumpulkan masyarakat suku kaum Tidong bersama masyarakat lain seterusnya dapat menyatu serta memperkukuhkan perpaduan kalangan masyarakat nelayan.
Menurutnya pertandingan ini dapat menonjolkan kemahiran nelayan mengendalikan bot kecil dengan pelbagai cara.
“Pejabat Parlimen Beluran menyokong dan memberi sumbangan untuk mempastikan program ini dianjurkan dengan baik dan sempurna,” katanya.