Hanya satu kes kolera dilaporkan di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU : Hanya satu kes kolera dilaporkan di Sabah bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini selain tiada kes direkodkan sepanjang bulan Ramadan yang lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, kes yang dilaporkan adalah direkodkan di daerah Semporna pada bulan Februari lalu.

Katanya, sebanyak 10 kluster keracunan makanan yang melibatkan seramai 189 individu telah dilaporkan pada Ramadan yang lalu bermula 3 April hingga 1 Mei lalu.

“Menerusi siasatan epidemiologi yang dijalankan, hanya dua kluster yang berkaitan dengan pembelian makanan di bazar Ramadan.

“Majoriti individu yang mengalami gejala keracunan adalah dalam keadaan stabil dan telah mendapatkan rawatan serta tiada kes yang dimasukkan ke hospital.

“Faktor penyumbang kepada kejadian kluster ini adalah pencemaran makanan dan juga pengendalian makanan yang tidak bersih,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dr Rose Nani berkata, JKNS telah melaksanakan oeprasi bersepadu pemeriksaan gerai bazar, persampelan makanan dan aktiviti penguatkuasaan sepanjang bulan Ramadan yang lalu.

Katanya, selain daripada itu, aktiviti Survelan Acute Gastroenteritis (AGE) telah dipergiatkan untuk memantau kejadian penyakit-penyakit berjangkit bawaan air dan makanan.

“JKNS ingin menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dan mengamalkan amalan tiga langkah kenali makanan rosak iaitu lihat, hidu dan rasa bagi mengelakkan keracunan makanan.

“Pastikan persekitaran sentiasa bersih daripada kehadiran haiwan dan serangga perosak seperti lipas, lalat dan tikus (LILATI). Makanan dan air minuman perlulah dimasak dengan sempurna sebelum dihidangkan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *