KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyifatkan pengumuman kenaikan bayaran interim Pemberian Khas Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagai bukti jelas komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menangani tuntutan hak Sabah.
Beliau berkata, keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menunjukkan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk menyelesaikan isu berkaitan hak Sabah secara berperingkat, tersusun dan bertanggungjawab.
Menurutnya, sebelum perubahan kerajaan Persekutuan pada 2022, Sabah hanya menerima kira-kira RM26.7 juta setahun selama berdekad-dekad meskipun tuntutan 40 peratus hasil negeri termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Di bawah pentadbiran Perdana Menteri, kita menyaksikan peningkatan yang amat ketara dari tahun ke tahun.
“Pada 2022, Sabah menerima RM125.6 juta, diikuti RM300 juta masing-masing pada 2023 dan 2024, manakala RM600 juta diperuntukkan pada 2025 dan 2026 sebelum pengumuman kenaikan pembayaran interim kepada RM1.5 bilion,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mustapha berkata, peningkatan konsisten itu membuktikan suara dan tuntutan rakyat Sabah bukan sahaja didengari, malah diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah telah berlarutan selama puluhan tahun dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat tanpa komitmen politik yang kukuh serta hubungan kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Justeru, pengumuman RM1.5 bilion ini merupakan satu pencapaian besar yang wajar dihargai oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan perjuangan menuntut hak Sabah akan diteruskan sehingga penyelesaian yang lebih menyeluruh dan muktamad dapat dicapai selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, pendekatan yang matang, berhemah dan berpandangan jauh perlu diteruskan bagi memastikan hak Sabah dapat direalisasikan tanpa menjejaskan kestabilan serta hubungan baik dalam Persekutuan Malaysia.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Anwar dan semangat Malaysia MADANI, agenda memperkasa Sabah dan Sarawak akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Mustapha merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memperjuangkan hak Sabah secara konstruktif dan bertanggungjawab demi kepentingan negeri dan rakyat.



