HomeUtamaBayaran interim RM1.5 bilion bukti rundingan GRS bawa hasil untuk Sabah

Bayaran interim RM1.5 bilion bukti rundingan GRS bawa hasil untuk Sabah

Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagai bukti pendekatan rundingan yang dibawa Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, membuahkan hasil.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menunjukkan hubungan baik serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berjaya memberikan manfaat nyata kepada rakyat Sabah.

Menurutnya, peningkatan bayaran interim itu turut menolak dakwaan pihak tertentu yang mendakwa kerajaan negeri gagal memperjuangkan hak Sabah.

“Hakikatnya, perjuangan hak Sabah bukan diukur melalui laungan politik atau kenyataan beremosi di media sosial, tetapi berdasarkan hasil yang dapat dibawa pulang untuk negeri dan rakyat.

“Peningkatan bayaran ini membuktikan tuntutan Sabah terus didengar, dipertimbangkan dan diterjemahkan kepada komitmen kewangan yang lebih besar oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, proses menuntut dan memuktamadkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan, melibatkan pelbagai aspek perundangan, fiskal, pentadbiran serta hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, rundingan memerlukan kesabaran, ketelitian dan saling menghormati antara kedua-dua pihak bagi memastikan penyelesaian yang dicapai dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Kerajaan Negeri memilih pendekatan yang matang dengan terus mempertahankan hak Sabah secara tegas, namun pada masa sama menjaga hubungan kerja yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Pendekatan ini membolehkan rundingan diteruskan, ruang penyelesaian dibuka dan hasil interim yang lebih besar diperoleh sementara formula muktamad dimuktamadkan,” katanya.

Nizam berkata, walaupun bayaran interim RM1.5 bilion bukan penyelesaian akhir, ia merupakan perkembangan penting dalam usaha menuntut hak Sabah.

Beliau turut mengambil maklum penegasan Perdana Menteri bahawa pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah bukan lagi persoalan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya menunggu pemuktamadan mekanisme dan kaedah pelaksanaannya.

Katanya, perkembangan itu amat signifikan dalam sejarah perjuangan MA63 dan membuktikan kerajaan negeri tidak pernah berdiam diri dalam memperjuangkan hak Sabah.

“Rundingan terus berjalan, tuntutan terus dibawa dan hasilnya semakin dapat dilihat secara berperingkat.

“Dalam isu besar seperti ini, kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh bertindak secara tergesa-gesa atau hanya mengejar kepentingan politik jangka pendek. Apa yang penting ialah memastikan keputusan yang dibuat kukuh, boleh dilaksanakan dan memberi manfaat jangka panjang kepada Sabah,” katanya.

Beliau berkata, Gagasan Rakyat akan terus menyokong usaha Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan untuk memuktamadkan pelaksanaan hak 40 peratus itu secara segera, telus dan adil selaras dengan semangat MA63.

Menurutnya, pengumuman bayaran interim RM1.5 bilion membuktikan pendekatan rundingan yang dipilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukanlah jalan yang lemah, sebaliknya pendekatan yang mampu menghasilkan keputusan berkesan demi kepentingan Sabah dan rakyatnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Hampir 1,000 pelancong disambut sempena Kaamatan di KKIA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular