HomeIsu tempatanPamer Tanda Harga, Elak Pengguna Keliru - David

Pamer Tanda Harga, Elak Pengguna Keliru – David

Read Time:2 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat, David Chan meminta semua peniaga untuk mempamerkan tanda harga bagi setiap barang jualan untuk mengelakkan kekeliruan kepada pengguna.

Katanya, tanda harga adalah satu perkara penting yang harus dititik beratkan sebelum operasi perniagaan dimulakan kerana pengguna boleh meneliti dan membuat perbandingan sebelum membuat pembelian.

“Pengguna perlu tahu harga untuk barang yang peniaga jual, tidak boleh biar saja barang disusun tanpa diletakkan tanda harga.

“Pengguna nanti ambil barang, tidak tahu harga, bila sampai di kaunter mahu bayar dengan juruwang, harga pula barangkali diluar kemampuan dan memberikan masalah kepada pengguna serta peniaga.

“Kerana inilah pentingnya label atau pamerkan tanda harga barang jualan,” katanya.

David berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Dalam pada itu, David turut menyeru pihak Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membuat pemantauan berkala yang lebih kerap bagi memastikan masalah peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga ini dapat diselesaikan.

“KPDNHEP perlu pantau dengan lebih kerap, kerana penjual kadang kala lalai dan menganggap perkara ini (pamer tanda harga) sebagai sesuatu yang tidak penting.

“Pengguna sudah lama menyuarakan masalah ini dan sampai kini kita lihat, masalah ini masih ada dalam kalangan peniaga dan pengguna yang berurusan,”katanya lagi.

Tambah David lagi, peniaga juga perlu sentiasa peka dan bersikap terlalu mengejar keuntungan tanpa memikirkan hak dan masalah dari sudut pengguna.

“Kita faham sekarang harga barang makanan, bahan mentah agak tinggi dan naik harga berikutan pelbagai masalah yang melanda dunia, namun perlu ada sedikit sifat timbang rasa dan jangan tamak dalam mengejar keuntungan.

“Peniaga dan pengguna perlu sama-sama saling mendapat manfaat dan menyokong satu sama lain kerana peniaga memerlukan pengguna untuk memberi dari mereka dan begitu juga dengan pengguna yang memerlukan peniaga untuk memberi barang keperluan harian,”jelasnya.

Dalam pada itu, David juga menasihati pengguna untuk tampil membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat sebarang masalah berkaitan urus niaga jual beli keperluan seharian.

“Jika ada masalah, pengguna diminta untuk buat aduan dan pihak bertanggungjawab akan pasti segera bertindak untuk mencari jalan penyelesaian yang tuntas,” ujar David lagi.

Berkaitan isu bekalan gula di Sabah yang habis di musim perayaan, David turut meminta kerajaan untuk sentiasa memandang serius isu kekurangan bekalan makanan mentah dan bahan masakan di musim perayaan.

“Bekalan makanan asas seperti gula, minyak masak, dan banyak lagi tidak wajar terputus dan bermasalah terutama pada musim perayaan kerana kita sedia maklum bila musim perayaan semua berkumpul menyediakan makanan dan merayakan tetamu yang berkunjung.

“Sangat tidak wajar jika stok bekalan makanan mentah dan bahan asas makanan serta minuman terputus, habis dan tidak dapat disediakan.

“Saya harap masalah ini dapat diteliti dan diselesaikan dengan lebih efisien oleh kerajaan dan semoga masalah sebegini tidak berulang lagi pada masa akan datang,”jelas David lagi.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

‘Dapur Kita-Kita’ bantu ringankan pekerja berpendapatan rendah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular