Gejala Hepatitis Akut Yang Tidak Diketahui Penyebabnya dikesan di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU : Seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia empat tahun 11 bulan di Sabah disyaki mengalami gejala Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya pada Mac lalu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kanak-kanak lelaki itu telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital di negeri itu selain mengalami gejala jaundis, demam,kurang selera makan, loya dan muntah.

“Turut dilaporkan fungsi hepar kanak-kanak ini semakin merosot sehingga memerlukan transplantasi hepar pada 30 Mac 2022 di sebuah hospital di Lembah Klang dan telah discaj dari hospital pada 21 April 2022 dalam keadaan sihat.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak ini tidak mempunyai sejarah penyakit lain selain jangkitan SARS-CoV-2,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairy berkata, ketika ini siasatan masih lagi dijalankan untuk menentukan sama ada kes ini memenuhi kriteria “Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya”.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mempertingkatkan survelan bagi hepatitis akut di semua klinik kesihatan dan hospital dengan menggunakan definisi kes yang telah dipersetujui oleh pakar-pakar perubatan klinikal dan kesihatan awam.

Menurutnya, protokol rujukan dan pengurusan kes “Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya” sedang dibangunkan.

“Dalam pada itu, Pengamal Perubatan di Klinik Kesihatan Kerajaan dan Swasta diminta untuk merujuk kanak-kanak berumur satu  bulan hingga kurang dari 18 tahun yang menunjukkan gejala jaundis dan gejala lain hepatitis akut seperti hilang selera makan, loya, muntah, kelesuan atau air kencing berwarna gelap ke Hospital untuk pengurusan kes selanjutnya.

“Ibu bapa ataupun penjaga kepada kanak-kanak yang mengalami gejala berkaitan hepatitis akut seperti yang dinyatakan di atas adalah dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran,”katanya.

Khairy berkata, KKM juga akan terus memantau situasi kejadian “Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya” dalam kalangan kanak-kanak dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Pada 23 April 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui WHO Event Information Site (EIS) telah melaporkan kejadian “Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya” yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur antara satu bulan hingga 16 tahun.

Sehingga 21 April 2022, WHO telah menerima pelaporan sebanyak 169 kes melibatkan 12 buah negara. United Kingdom melaporkan bilangan kes tertinggi sebanyak 114. Negara lain yang turut melaporkan kes adalah Sepanyol, Israel, Amerika Syarikat, Denmark, Ireland, Itali, Belanda, Perancis, Norway, Belgium dan Romania. Setakat ini hanya satu kematian telah dilaporkan.

Kejadian hepatitis akut yang dilaporkan ini dikategorikan sebagai “Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya” kerana enyebab lazim hepatitis seperti virus hepatitis A, B, C, D atau E tidak dikesan melalui ujian makmal.

Selain itu, WHO turut melaporkan bahawa sebanyak 74 kes dari 169 kes yang dilaporkan dikesan positif Adenovirus dan 20 kes dikesan positif SARS-CoV-2. Walau bagaimanapun penyebab hepatitis akut ini belum dapat ditentusahkan dan masih dalam siasatan. Dianggarkan 10 peratus daripada 169 kes yang dilaporkan ini memerlukan transplantasi hepar.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *