HomeUtamaMAFI permudah permohonan bayaran subsidi penternak ayam 

MAFI permudah permohonan bayaran subsidi penternak ayam 

Read Time:2 Minute, 5 Second

BERNAMA

SEREMBAN – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan pihaknya telah mempermudahkan prosedur permohonan bagi mempercepatkan pembayaran subsidi kepada penternak ayam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, prosedur permohonan dan semakan yang dilaksanakan di tiga peringkat sebelum ini dikurangkan kepada satu peringkat sahaja iaitu di peringkat negeri dan kelulusan bayaran di peringkat ibu pejabat.

“Sebelum ini permohonan perlu tiga tahap iaitu daerah, negeri dan ibu pejabat. Bayaran subsidi yang diluluskan pula akan dikreditkan ke dalam akaun penternak yang berjaya dalam masa tiga hari sahaja.

‘MAFI komited untuk memastikan pemberian subsidi ini dilaksanakan dengan kadar segera dengan mematuhi syarat ditetapkan supaya dapat memberi manfaat kepada para penternak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, penternak diminta untuk mengemukakan borang permohonan dan dokumen sokongan seperti invois jualan, pesanan penghantaran pembelian anak ayam dan salinan perjanjian kontrak antara “integrator” atau penternak kontrak bagi menuntut subsidi dalam tempoh yang ditetapkan.

Pada 28 Februari lepas, MAFI dilaporkan membuka permohonan subsidi untuk penternak ayam pedaging dan ayam penelur hingga 6 Jun depan, melibatkan pengeluaran ayam daging dan telur yang dihasilkan bermula 5 Februari hingga 5 Jun depan.

Ronald berkata, kadar pemberian subsidi setakat ini adalah RM0.60/kg bagi ayam pedaging dan RM0.05/biji bagi telur semua kategori melibatkan penternak persendirian, penternak “integrator/semi-integrator” dan penternak kontrak melibatkan RM528.52 juta yang memanfaatkan 2,255 individu.

Menurutnya, kerajaan mengambil maklum walaupun pemberian subsidi telah mula dinikmati oleh penternak namun kos pengeluaran terus meningkat yang mana harga jagung bijian meningkat 13.41 peratus pada April lepas manakala harga makanan berasaskan kacang soya meningkat 10.57 peratus berbanding Mac lepas.

“Ini menyebabkan kos pengeluaran ayam di ladang meningkat sebanyak 10.77 peratus iaitu dari RM6.50/kg kepada RM7.20/kg,” katanya.

Justeru beliau berkata, tindakan proaktif akan terus dilaksanakan untuk memastikan kelangsungan industri penternakan ayam walaupun negara sedang berdepan dengan peningkatan kos input pengeluaran berterusan yang merupakan fenomena global.

Beliau berkata, MAFI juga sedang mengkaji keperluan untuk melanjutkan tempoh kelulusan kuota import ayam dengan mengambil kira penilaian keperluan bekalan negara yang mana kerajaan sebelum ini membenarkan pengimportan ayam sehingga 10,000 tan metrik sebulan termasuk dari Thailand dan China.

Katanya, pada masa ini syarikat telah diberi kelulusan kuota untuk tempoh dari Disember 2021 hingga bulan ini dan akan dihentikan sebaik sahaja bekalan ayam bulat dalam negara mencukupi.

“MAFI akan terus menumpukan usaha meningkatkan jaminan bekalan makanan negara melalui pelbagai usaha sama strategik terutama dengan kolaborasi bersama kementerian dalam memastikan industri ini kekal mampan dan sekuriti makanan negara terus terjamin,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Angin kencang landa Semporna, 35 rumah dan 20 kenderaan terjejas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular