PM bangga sifat keterbukaan rakyat Sabah dipegang teguh, masyarakatnya hidup harmoni

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: “Sifat keterbukaan rakyat Sabah yang diwarisi sejak zaman berzaman terbukti dipegang teguh dalam memupuk keharmonian hidup masyarakat Negeri Di Bawah Bayu ini,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, sejak beliau dilantik menjadi Perdana Menteri pada bulan Ogos lalu, beliau telah melawat Sabah sebanyak empat kali.

“Sememangnya negeri ini sangat dekat di hati saya. Saya bangga melihat kepelbagaian etnik di Sabah yang boleh duduk semeja tanpa mengira sentimen agama dan bangsa. Inilah semangat sebenar Keluarga Malaysia yang mahu ditekankan.

“Pelbagai perbezaan yang ada mewarnai kehidupan mereka sehingga mampu membentuk sebuah keluarga besar yang cekal mengharungi serba-serbi liku cabaran bersama.

“Bak kata pepatah orang Kadazan, “Osusa Toi Asanang Tomoi-mo Mi-i-so” yang bermaksud susah atau senang, suka dan duka kita tetap bersama dan bersatu dalam satu Keluarga Malaysia. Inilah harapan besar saya,” katanya semasa merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, hari ini.

Beliau merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah khususnya, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di atas kerjasama penganjuran dan menjadi tuan rumah Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Sabah.

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia kali ini adalah yang ketiga selepas di Johor dan Perlis. Pelbagai pameran dari Agensi Persekutuan dan Negeri diadakan di sini sepanjang tiga hari berlangsung bermula 20 hingga 22 Mei 2022.

Menurut Ismail, Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang menerapkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam konteks sokongan dari segi sebuah kasih sayang merentasi etnik dan agama akan diteruskan ke seluruh negara.

Terdahulu pada majlis itu, Ismail menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia kepada 11 orang penerima dan turut disampaikan Geran Malaysian Incentive Community Empowerment (My ICE) kepada 10 pertubuhan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Hari Keamatan kepada seluruh keluarga Malaysia di Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *