KOTA KINABALU : Agrobank hari ini menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun berakhir 2021 bernilai RM540,569.95 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, agihan zakat tersebut dibuat setelah mengambil kira keuntungan bersih syarikat dan agihan zakat pendapatan yang dilakukan di setiap negeri mengikut pengiraan tertentu.
“Bayaran zakat perniagaan kepada MUIS ini adalah salah satu usaha bagi membentuk pembangunan kemasyarakatan setempat dan komuniti di Sabah.
“Sudah menjadi tanggungjawab Agrobank, sebagai sebuah entiti korporat yang prihatin untuk menjalankan tanggungjawab sosial membantu golongan yang kurang mendapat perhatian dan liputan (unserved dan underserved communities),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd, Ahli Lembaga Pengarah Agrobank, Datuk Md Afendi Datuk Hamdan dan Ketua Pegawai Kewangan Agrobank Kamarul Azman Kamarozaman @ Amir.
Ahmad Badli berkata, sumbangan zakat itu diharap akan dapat memberi impak positif kepada pembangunan sosioekonomi di Sabah khususnya kepada golongan asnaf.
Pada majlis itu, Tengku Ahmad Badli Shah menyerahkan cek cura kepada Timbalan Yang DiPertua MUIS, Malai Ali Malai Ahmad dan disaksikan oleh Tun Juhar.