44 peserta rebut gelaran Unduk Ngadau Kaamatan peringkat negeri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU : Seramai 44 peserta akan bertanding bagi merebut gelaran Unduk Ngadau Peringkat Negeri Sabah 2022, yang akan berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kadazandusun (KDCA) Selasa depan.

Semua peserta tersebut merupakan pemenang Unduk Ngadau peringkat daerah dan KDCA termasuk Johor Bahru, Melaka, Klang Valley dan Putrajaya.

Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri, Joanna Kitingan berkata, kelonggaran untuk mengadakan pertandingan Unduk Ngadau secara fizikal selepas dua tahun merupakan satu peluang yang baik untuk mempromosikan semula pelancongan negeri termasuk agro pelancongan dan alam semulajadi.

“Alam semulajadi merupakan aset yang penting dan kita amat bertuah kerana dikelilingi dengan alam semulajadi yang sentiasa dipelihara oleh pihak-pihak berwajib.

“Kefahaman mengenai kepentingan pemeliharaan alam semulajadi dan 17 Matlamat Pembangunan Mampan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu oleh para peserta juga amat dititikberatkan dalam pertandingan kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Unduk Ngadau Kaamatan peringkat negeri Sabah di sini semalam.

Joanna berkata, pada tahun ini semua peserta dikehendaki untuk membuat satu video berdurasi selama satu minit menggunakan bahasa ibunda dan disertai sari kata dalam Bahasa Inggeris berkaitan dengan perkara tersebut.

“Hasil video para peserta akan dinilai dan markah akan diambil kira semasa pertandingan akhir yang akan diadakan pada 31 Mei ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penaja antaranya Datuk Ramah Jan Sulaiman Khan, Suzie Van Der Lej, QPACK, Datuk James Ratib, Chua Kah Seng Supermarket Sdn. Bhd., Sutera Harbour Resort dan North Borneo University College.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *