KOTA KINABALU: Konsep tamu tradisional dipilih sebagai tema Pameran Pelancongan Berasaskan Komuniti Sabah (CoBT) 2026 bagi mengetengahkan keunikan budaya, tradisi serta hasil keluaran masyarakat tempatan dari pelbagai daerah di negeri ini.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai berkata, pemilihan konsep itu mencerminkan identiti masyarakat Sabah yang sememangnya dekat dengan tradisi tamu sebagai tempat penduduk setempat menjual hasil pertanian, kraftangan dan pelbagai produk tempatan.
Menurutnya, setiap daerah di negeri ini mempunyai tamu tersendiri yang bukan sahaja menjadi pusat kegiatan ekonomi masyarakat, malah turut mencerminkan warisan dan kehidupan komuniti setempat.
Katanya, semangat berkenaan diterapkan dalam pameran kali ini menerusi penyertaan persatuan pelancongan dari setiap daerah serta penglibatan pengusaha komuniti yang akan mempamerkan dan menjual produk masing-masing.
“Konsep tamu ini mempunyai unsur kebudayaan dan tradisi yang ingin kita ketengahkan, selaras dengan usaha mempromosikan tarikan pelancongan berasaskan budaya di Sabah.
“Melalui konsep ini, pengusaha komuniti berpeluang mempamerkan serta menjual produk tempatan seperti kraftangan, cenderamata, makanan dan minuman kepada pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media CoBT 2026 di sini pada Selasa.
Pameran edisi kelapan anjuran STB dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) itu akan berlangsung di Suria Sabah Shopping Mall selama tiga hari bermula Jumaat ini.
Joniston yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, konsep tamu juga diharap dapat mewujudkan suasana santai dan mesra yang membolehkan pengunjung berinteraksi secara lebih dekat dengan pengusaha pelancongan komuniti.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memberi peluang kepada pengusaha tempatan memasarkan produk dan perkhidmatan secara terus kepada pelanggan, sekali gus membuka ruang menjana pendapatan melalui sektor pelancongan.
Katanya, kejayaan penganjuran pameran berkenaan turut bergantung kepada penglibatan aktif pengusaha pelancongan luar bandar melalui persatuan masing-masing.
Selain mengetengahkan produk tempatan, pameran itu turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi kraftangan, masakan dan penyediaan makanan tradisional, sesi perkongsian mengenai kelestarian agropelancongan serta pelancongan berasaskan komuniti.
Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan permainan tradisional turut diadakan bagi menarik penyertaan keluarga serta memberi pengalaman berkaitan budaya tempatan kepada pengunjung.
Beliau berkata, pameran itu menyasarkan sekurang-kurangnya 3,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya, termasuk penduduk tempatan, pelajar universiti serta pelancong domestik dan antarabangsa.
Menurutnya, usaha mengetengahkan keunikan budaya dan kehidupan masyarakat tempatan merupakan antara pendekatan penting untuk menjadikan Sabah lebih menarik sebagai destinasi pelancongan.
“Kita mahu mengetengahkan tarikan pelancongan yang unik dan hanya terdapat di Sabah, kerana keunikan seperti inilah yang boleh menarik lebih ramai pengunjung untuk datang dan mengenali negeri ini.
“Kita juga mahu memastikan masyarakat luar bandar bukan sekadar terlibat dalam pembangunan pelancongan, tetapi turut menikmati manfaat ekonomi daripada sektor berkenaan,” katanya.
Beliau berharap penganjuran itu dapat meningkatkan pendedahan terhadap produk pelancongan komuniti serta membantu pengusaha tempatan membuat persediaan menerima lebih ramai pengunjung menjelang Tahun Melawat Sabah 2027. – SABAH MEDIA



