KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa semua kementerian, jabatan, badan berkanun dan agensi di bawah Kerajaan Negeri memperkukuh kerjasama dalam penyelarasan data serta pelaksanaan program pembasmian kemiskinan bagi memastikan bantuan disalurkan secara lebih teratur dan bersasar.
Beliau berkata, antara cabaran yang perlu ditangani ialah pelaksanaan program pembasmian kemiskinan secara berasingan oleh kementerian dan agensi mengikut perancangan masing-masing, tanpa penyelarasan data serta perkongsian maklumat yang mencukupi.
Katanya, keadaan itu berpotensi menyebabkan pertindihan bantuan, selain membebankan rakyat dengan urusan birokrasi berulang dan maklumat bantuan yang tidak selaras.
“Tanggungjawab penyelarasan ini juga telah saya mandatkan kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk menyelaras agenda pembasmian kemiskinan negeri. Namun demikian, kerjasama menyeluruh daripada semua agensi masih perlu dipertingkatkan, khususnya membabitkan perkongsian data penerima, maklumat bantuan yang telah disalurkan dan pelaporan keberhasilan intervensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Kesejahteraan dan Transformasi Rakyat (KESTRA) 2026, inisiatif di bawah Pelan Pembangunan SMJ 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kejayaan menoktahkan status miskin tegar bagi 22,510 Ketua Isi Rumah (KIR) yang dikenal pasti menerusi angka locked figure (LF) Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah 2023 membuktikan kepentingan kerjasama dan penglibatan semua pihak.
Katanya, sasaran berkenaan berjaya dicapai pada 31 Julai 2024, iaitu dalam tempoh kurang setahun melalui perkongsian data, pengesahan di lapangan, penyelarasan bantuan dan pelaksanaan intervensi bersesuaian.
Kejayaan itu membabitkan 22,510 KIR merangkumi 94,315 ahli isi rumah, menjadikan keseluruhan 116,825 individu yang berkaitan dengan isi rumah berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pencapaian sifar miskin tegar tidak bermakna semua keluarga terbabit secara automatik terkeluar daripada kemiskinan kerana status sosioekonomi isi rumah boleh berubah akibat kehilangan pekerjaan, penyakit, pertambahan tanggungan, bencana atau perubahan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
Sehubungan itu, pelantikan Sekretariat SMJ sebagai penyelaras bukan bertujuan mengambil alih mandat kementerian atau agensi, sebaliknya memastikan setiap program dilaksanakan secara teratur dan impaknya dapat dikenal pasti.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan memperkukuh penggunaan data eKasih dan Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) sebagai rujukan rasmi bagi mengenal pasti pertindihan bantuan, jurang liputan serta keperluan tindakan susulan setiap isi rumah.
Selain itu, Program MySMJ Profiling yang menempatkan pegawai di setiap 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi melaksanakan pengesahan data kemiskinan di lapangan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, pendekatan itu membolehkan kerajaan memahami latar belakang keluarga, kemampuan bekerja, keperluan latihan serta perubahan status sosioekonomi penerima bantuan.
“Kita mahu keputusan dibuat berdasarkan keadaan sebenar di lapangan, bukan andaian semata-mata. Saya menyeru semua kementerian dan agensi mengutamakan penyelarasan, perkongsian maklumat dan pelaporan yang konsisten kerana agenda pembasmian kemiskinan ialah tanggungjawab bersama,” katanya.
Hajiji berkata, setakat ini sebanyak 54 agensi pemberi bantuan daripada Kerajaan Negeri, Persekutuan dan pemain industri terbabit dalam 134 intervensi menerusi lima teras Program Menoktahkan Miskin Tegar.
Lima teras itu merangkumi perumahan, pendidikan, pekerjaan, kebajikan dan kewangan serta keusahawanan dan latihan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan jumlah program, peruntukan dan bantuan yang disalurkan bukan ukuran tunggal kejayaan, sebaliknya keberkesanan sebenar perlu dinilai berdasarkan jumlah rakyat yang berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan.
“Jika kita hanya melaporkan bilangan bantuan, bilangan majlis penyerahan atau jumlah peruntukan, kita belum menjawab persoalan yang lebih besar, iaitu berapa ramai yang betul-betul telah keluar daripada kitaran kemiskinan.
“Rakyat tidak hidup dengan statistik program, sebaliknya mereka memerlukan pendapatan, makanan, tempat tinggal, pendidikan dan harapan untuk masa depan,” katanya.
Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu mempunyai bukti keberhasilan yang boleh disemak bagi mengukur jumlah rakyat yang berjaya keluar daripada kemiskinan, selain memperkukuh pembangunan kerangka penilaian kemiskinan negeri yang mengambil kira realiti serta keperluan rakyat Sabah.
Menurutnya, berdasarkan statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kemiskinan mutlak Sabah menurun daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024, manakala kadar kemiskinan tegar berkurangan daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus.
Bagaimanapun, Sabah masih mencatatkan kadar kemiskinan melebihi paras nasional dan tertinggi berbanding negeri lain.
Sehubungan itu, beliau mahu 13 indikator tambahan miskin tegar Sabah yang dipersetujui pada 2023 dimanfaatkan sebagai instrumen penilaian dan pemprofilan bagi mengenal pasti punca sebenar kemiskinan setiap keluarga, menentukan bentuk intervensi bersesuaian serta memantau perubahan keadaan mereka dari semasa ke semasa.
Hajiji berkata, semua dapatan dan cadangan yang dikemukakan menerusi simposium itu perlu dirumuskan menjadi pelan tindakan praktikal untuk pertimbangan Kerajaan Negeri sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi memastikan tindakan susulan yang jelas.



