GRS gariskan empat teras perjuangan laksana agenda Sayangi Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:4 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggariskan empat teras perjuangan sebagai sebuah entiti politik rasmi selaras dengan pelaksanaan agenda Sayangi Sabah.

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia termasuklah Sabah First (Sabah Diutamakan); Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan) ; Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah Yang Bersatu).

Katanya, Sabah First merupakan teras perjuangan yang melibatkan matlamat serampang dua mata yang bukan sahaja meletakkan hak dan kepentingan Sabah pada unjuran teratas, tetapi juga misi untuk menganjak status negeri ini pada kedudukan teratas dalam pelbagai aspek pembangunan.

“Sabah First tidak bermaksud bahawa kita mengenepikan kepentingan nasional, namun sebagai wadah tempatan, amanah dan tanggungjawab besar kita adalah memperjuangkan kepentingan negeri sebagai keutamaan nombor satu. 

“Kita yakin dan percaya, sebagai salah satu komponen penting negara, matlamat membina Sabah yang lebih maju dan berjaya perlu diangkat sebagai agenda nasional demi menjamin kemakmuran dan kelestarian Persekutuan Malaysia.

“Sabah First juga akan menjadi pegangan kita dalam menyusul dengan teliti setiap perkara dalam siri perundingan yang sedang rancak berjalan melalui pelbagai platform dan diselaraskan di bawah Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, kerajaan turut berpendirian bahawa semangat dan prinsip MA63 akan sentiasa hidup dan relevan hingga hari ini dan masa depan.

Katanya, teras perjuangan menerusi Sabah Forward turut dilihat penting dalam membentuk pemikiran, menghalakan perspektif dan memimpin tindakan secara strategik dan berfokus dalam membawa Sabah melangkah ke hadapan, membina masa depan negeri.

“Perjuangan ini adalah satu perjalanan panjang yang kita warisi daripada barisan pelopor pejuang terdahulu. Kita berdiri di atas amanah dan pertanggungjawaban itu. Kita harus memastikan setiap langkah yang diatur memacu kita ke hadapan menuju destnasi kemajuan dan kemakmuran.

“Jangan kita terbelenggu dengan retorika politik berpanjangan yang tidak membawa kita ke mana-mana. Jangan biarkan romantika sejarah semata-mata akhirnya membawa kita berundur jauh ke belakang.

“Kesedaran bahawa Sabah sudah jauh ketinggalan tidak akan membawa kita ke mana-mana sekiranya tidak diterjemahkan dengan keinsafan untuk melaksanakan perubahan. Sikap, tindakan, masa dan segala sumber yang ada perlu ditumpukan dan di halakan ke hadapan demi membina legasi kemajuan untuk dinikmati dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut menjelaskan bahawa teras perjuangan ketiga menerusi Sabah Prosper yang dimaknai dengan kesunggguhan dan komitmen kerajaan bagi melaksanakan serta menjayakan Agenda Sayangi Sabah melalui pelan pembangunan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Katanya, meskipun ada pihak cuba mewujudkan persepsi negatif dengan mengetengahkan isu-isu tertentu untuk menafikan signifikasi Hala Tuju SMJ.

“Realitinya, saya yakin mereka menyedari bahawa isu-isu itu adalah juga legasi yang mereka sendiri gagal tangani. Kita perlu istiqamah dan tidak membiarkan tindakan bermotifkan kepentingan politik sempit ini membawa kita lari dari landasan serta fokus dalam menggerakkan pelan pembangunan ini.

“Hakikatnya, Sabah Maju Jaya adalah satu misi perjalanan panjang menuju satu destinasi bersama iaitu membina negeri yang lebih maju dan berjaya.

“Sesebuah Kerajaan memerlukan perancangan kerana sekiranya kita tidak merancang, kita sebenarnya merancang sebuah kegagalan. Hala Tuju Sabah Maju Jaya telah dibina untuk mengisi vakum yang ditinggalkan oleh pentadbiran yang lalu.

“Sungguhpun mewarisi trend kemerosotan ekonomi dan ditambah dengan cabaran pandemik COVID-19, kita berupaya bangkit melalui pelan pembangunan ini,” katanya.

Hajiji berkata, hala tuju itu telah mensasarkan peningkatan hasil negeri dengan pelaksanaan pelbagai strategi.

Katanya, kerajaan telah berjaya melakar sejarah baharu dengan jumlah kutipan hasil tertinggi negeri.

“Pertama kali sejak merdeka kita berjaya menembusi angka RM 5 bilion dengan jumlah keseluruhan kutipan bagi tahun 2021 ialah RM 5.449 bilion.

“Peningkatan hasil negeri bermakna lebih banyak peruntukan boleh disalurkan untuk kesejahteraan rakyat. Demi rakyat, GRS akan terus memacu pelaksanaan pelan ini untuk mencapai matlamat membina bukan sahaja negeri yang maju, tetapi rakyatnya juga berkemajuan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, perjuangan Sabah First, Sabah Forward dan Sabah Prosper harus bergerak seiring bersama perjuangan Sabah United iaitu mewujudkan Sabah yang bersatu sebagai teras yang keempat.

Katanya yang turut mengajak agar tidak berpecah dan dipecahkan selain tidak membiarkan perbezaan melebarkan jurang antara rakyat di negeri ini.

“Atas keinsafan itu, GRS seharusnya membawa citra kesatuan. GRS perlu terbuka kepada semua pihak yang berkongsi agenda dan teras perjuangan yang sama.

“Kita bersyukur kerana titik persamaan itu membawa kita kepada permuafakatan dan hari ini GRS telah didaftarkan secara rasmi dengan dengan keanggotaan empat komponen parti. Kepimpinan GRS juga telah sepakat menerima Parti USNO sebagai anggota komponen yang kelima.

“Demi menyemarakkan semangat Sabah yang Bersatu, saya akan membincangkan dengan rakan-rakan pimpinan untuk mengusahakan strategi dan pendekatan lain bagi membawa lebih ramai rakyat Sabah bersama dalam perjuangan murni ini,” katanya.

Hajiji berkata, selain keanggotaan secara langsung sebagai ahli GRS, penubuhan Sayap Wanita dan Sayap Pemuda, pihaknya akan mempertimbangkan segera penubuhan Sayap Pelajar atas permintaan golongan itu.

“Selain itu, Sayap GRS Plus yang menghimpunkan badan-badan politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mana-mana pihak sekalipun juga akan turut dipertimbangkan.

“Pra syaratnya, kebersamaan itu wajib didirikan atas perkongsian matlamat dan pegangan kukuh serta kepatuhan sepenuhnya kepada semangat, agenda, teras dan prinsip Gabungan Rakyat Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *