USNO zahir 5 prinsip pendirian sebagai parti komponen dalam GRS

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 13 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia menzahirkan lima prinsip perjuangan atau pendirian sebagai salah sebuah parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semasa Majlis Pelancaran GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini .

Katanya, pertama, USNO akan berkorban untuk kepentingan GRS, kedua, USNO akan menyumbang tenaga dan fikiran untuk kepentingan GRS, ketiga, USNO akan mendokong GRS untuk kepentingan GRS, keempat, sebagai ahli dalam keluarga besar GRS, dan kelima, USNO menyedari bahawa partinya adalah parti kecil dalam GRS.

Menurut Pandikar, permohonan USNO untuk menyertai GRS bukannya dibuat semata-mata atas sebab bahawa USNO teringin sangat untuk menyertai pihak yang memerintah atau takut berperanan sebagai parti pembangkang.

“Permohonan dibuat atas keinginan untuk menyokong sebuah kerajaan, dimana prinsip perjuangannya yang tersirat adalah sama dengan prinsip perjuangan USNO iaitu, ingin membangunkan negeri Sabah, mengikut acuan atau cara pemikiran pemimpin-pemimpin Sabah itu Kuasa sendiri, tanpa tekanan atau pengaruh tangan- tangan ghaib yang kurang arif dengan kehendak atau aspirasi rakyat negeri Sabah,” katanya semasa berucap dalam majlis itu.

“Pada kami di USNO, perjuangan tersirat GRS ada persamaannya dengan inti falsafah perjuangan USNO, the New Deal atau Rundingan Baru.

“Rundingan Baru adalah perjuangan tersirat USNO meninggalkan cara perjuangan lama, yang bergantung semata-mata kepada ‘tongkat’ yang disediakan oleh tangan-tangan ghaib,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Pandikar turut meluahkan penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan GRS kerana menerima masuk parti USNO berjuang bersama-sama GRS kepentingan rakyat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *