PENAMPANG : Kerajaan Sabah dibawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) terus komited dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mengambil kira atas kepentingan itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM227.4 juta kepada sektor pelancongan di negeri ini menerusi Belanjawan Sabah 2022.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM131.93 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar serta jabatan dan agensi di bawahnya. Ini adalah antara komitmen berterusan Kerajaan dalam pemerliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Inisiatif ini juga adalah sebahagian daripada usaha bagi memastikan setiap komponen dalam mewujudkan kelestarian hijau akan dapat diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat negeri Sabah 2022 di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, Sabah turut diberi penghormatan selaku tuan rumah bagi acara Kongres Taman-Taman Asia kedua yang diadakan di Kota Kinabalu minggu lalu yang dianjurkan bersama dengan International Union for the Conservation of Nature (IUCN).
Katanya yang turut menyeru kepada seluruh rakyat Sabah untuk sentiasa menjaga alam semula jadi, flora dan fauna yang ada di negeri ini.
“Seperti yang dilaporkan oleh media, banyak bencana alam berlaku berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu di seluruh dunia termasuk di negara kita.
“Keadaan ini sudah pasti turut mempengaruhi hasil pengeluaran makanan yang akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat khususnya di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, pemilihan tema perayaan Pesta Kaamatan tahun ini iaitu ‘Kaamatan Menjiwai Alam Semula Jadi (Kaamatan Monunduan Do Winorun) amat tepat terutama sekali dengan pelbagai fenomena akibat perubahan iklim dunia pada masa kini.
Katanya, dengan tema itu diharap akan dapat memberi kesedaran dan peringatan kepada semua lapisan masyarakat bagi memelihara dan memulihara alam semula jadi yang akan diwarisi untuk generasi akan datang.
Menurutnya,Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun oleh masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) merupakan budaya yang diwarisi sejak zaman-berzaman.
“Pesta ini bukan sahaja bertujuan melahirkan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Sabah sangat bertuah kerana dikurniakan dengan pelbagai budaya dan seni tradisi yang kaya.
“Saya percaya setelah sebulan pesta ini berlangsung, ia telah memperkukuh dan memantapkan lagi semangat perpaduan, persaudaraan, persahabatan dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai suku, kaum dan budaya.
“Kepelbagaian etnik di Sabah yang boleh duduk semeja tanpa mengira sentiment agama dan bangsa adalah gambaran dan semangat sebenar Keluarga Malaysia yang perlu dikekalkan dan dipelihara selamanya.
“Saya ingin menyeru seluruh rakyat untuk mengekalkan budaya perpaduan dan permuafakatan demi masa depan yang lebih cemerlang untuk rakyat Sabah dan generasi akan datang,” katanya.