KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) akan melakukan kawalan secara fizikal di semua pintu keluar negara bagi memastikan tiada aktiviti mengeksport ayam dilakukan.
Jurucakap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkata, langkah tersebut diambil selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 23 Mei lalu untuk menghentikan eksport ayam berkuat kuasa hari ini.
Justeru katanya, MAQIS akan memastikan tiada aktiviti pengeksportan komoditi tersebut melalui dua langkah.
“Kelulusan permit yang meliputi pengeksportan ayam hidup, karkas ayam bulat, keratan daging ayam dan produk makanan berasaskan ayam tidak lagi dikeluarkan.
“Semua kelulusan permit untuk membawa keluar komoditi tersebut mulai hari ini dibatalkan dan disekat,” katanya.
Menurut jurucakap itu lagi, MAQIS akan membuat kawalan di pintu keluar negara oleh pegawai penguat kuasanya dan sebarang aktiviti untuk mengeksport komoditi berkenaan tidak dibenarkan.
“Konsainan eksport komoditi tersebut perlu diuruskan sewajarnya oleh pemilik permit,” katanya.
Menurutnya, jika terdapat perlanggaran, tindakan di bawah subseksyen 11(2) dan 11(3), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011 [Akta 728] boleh diambil.
“Jika sabit kesalahan, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya.
“Manakala bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Sebarang persoalan mengenai larangan eksport komoditi ayam, boleh dikemukakan melalui emel kepada [email protected].