Johnny Depp menang saman fitnah terhadap bekas isteri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 16 Second

New York: Juri di sebuah mahkamah di Fairfax, Virginia, pada Rabu mendapati aktres Amber Heard membuat fitnah mengenai dakwaan dia didera oleh bekas suaminya, Johnny Depp.

Juri turut memerintahkan Heard membayar ganti rugi AS$15 juta (kira-kira RM65 juta). 

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan jumlah itu dikurangkan kepada AS$10.35 juta (kira-kira RM45 juta) sejajar dengan had punitif yang dibenarkan undang-undang di negeri itu. 

Tujuh juri yang mendengar perbicaraan selama enam minggu itu mendapati bahawa artikel ditulis Heard pada 2018 mengenai dakwaan keganasan seksual adalah fitnah kepada Depp.

Selain itu, juri mendapati ia ditulis dengan niat jahat. 

Bagaimanapun, juri memihak kepada Heard dalam satu tuntutan balasnya kepada Depp dan mengarahkan Depp membayar bekas isterinya itu AS$2 juta (kira-kira RM8.78 juta).

Depp, 58, mengemukakan saman fitnah menuntut tidak kurang AS$50 juta (kira-kira RM219 juta) terhadap Heard yang didakwa memfitnahnya apabila bekas isterinya itu dalam satu artikel akhbar mendakwa dia adalah ‘figura awam mewakili keganasan rumahtangga’. 

Heard yang pernah membintangi filem aksi Aquaman pula mengemukakan tuntutan balas menuntut AS$100 juta (kira-kira RM439 juta), dengan mendakwa Depp mencemarkan reputasinya. 

Kedua-duanya bertemu pada 2011 ketika berlakon filem The Rum Diary sebelum berkahwin pada Februari 2015.

Bagaimanapun, pasangan itu disahkan berpisah dan penyelesaian perceraian dimuktamadkan dua tahun kemudian. 

Depp yang juga pelakon filem fantasi Pirates of the Caribbean memfailkan saman itu di Fairfax County, Virginia, kerana artikel yang didakwanya mengandungi fitnah berkenaan diterbitkan Washington Post, yang dicetak di situ.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *