KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) hari ini melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), salah satu inisiatif bagi membangunkan agenda pendidikan di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Inisiatif yang bertemakan “Peluang Tajaan Untuk Semua”, membuka sinar baharu kepada rakyat negeri ini dalam mengejar pendidikan di menara gading.
Katanya, pelancaran Tabung Pendidikan Negeri Sabah adalah bertujuan untuk membantu anak-anak Sabah yang kurang berkemampuan dari golongan B40 untuk mendapatkan peluang bantuan melanjutkan pelajaran mereka ke institusi pengajian tinggi. Usaha ini adalah termasuk dalam inisitaif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Hajiji berkata, penubuhan TPNS yang merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah (YS) 2015-2023 diwujudkan bagi mengumpul dana untuk membuka lebih banyak peluang tajaan kepada anak-anak negeri Sabah yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi.
“Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif Kumpulan YS dalam menokok tambah usaha kerajaan membangunkan agenda pendidikan di negeri ini. Pelancaran TPNS ini tepat pada masanya, sekali gus membuktikan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Negeri melalui Kumpulan YS terhadap masa depan generasi muda kita”.
“Komitmen tersebut amat diperlukan lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan fasa pertama Pelan Pembangunan SMJ 1.0, 2021 -2025) pada Mac 2021 lalu, yang antaranya menjadikan modal insan dan kesejahteraan rakyat sebagai antara teras utama”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS) berkata, kerajaan negeri amat memberi penekanan dalam pembangunan modal insan di negeri ini.
Justeru katanya, dalam Belanjawan Negeri 2022, pelbagai insentif diberikan bagi memperkasa pendidikan termasuk TPNS, merupakan satu daripada “touch point” Belanjawan 2022 Negeri Sabah.
Menurutnya, sejajar dengan komitmen pembangunan modal insan melalui pendidikan, pemberian biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.
Katanya, keutamaan penajaan adalah bagi pelajar yang mengambil kursus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi tuntutan pasaran pada masa akan datang.
Sementara itu, Hajiji berkata sehingga kini, jumlah dana TPNS yang terkumpul adalah sebanyak RM54.5 juta, melalui sumbangan daripada Kerajaan Negeri Sabah, Benta Wawasan Sdn. Bhd, Sabah Softwoods Berhad, Innoprise Plantations Berhad, Yayasan Lau Gek Poh, Ikatan Kayangan Sdn. Bhd. dan Usahawan Borneo Group.
Beliau menyeru semua pihak termasuk syarikat-syarikat besar yang beroperasi dan meraih keuntungan di negeri ini, agar dapat tampil memberi sumbangan bagi membolehkan TPNS mengumpul dana yang diperlukan.
“Harapan saya agar dana terkumpul ini akan menjadi landasan bagi membolehkan lebih ramai anak-anak Sabah berpeluang ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.
Sesungguhnya, anak-anak Sabah pada hari ini merupakan aset paling berharga bagi negeri kita kerana mereka adalah tiang negara dan bakal pemimpin pada masa hadapan”, katanya.