Kerjasama secara formal antara SBCC, SUCCC dan KCCI bantu capai matlamat SMJ – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pembentukan hubungan kerjasama secara formal antara tiga dewan perniagaan utama di Sabah adalah petanda baik kepada teras perniagaan Kerajaan Negeri dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika bertemu dengan delegasi Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (SBCC), Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah (SUCCC) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) di Menara Kinabalu dekat sini pada hari Khamis.

Hajiji berkata, dengan adanya pembentukan kerjasama rasmi tersebut, dewan perniagaan itu kini adalah pelengkap kepada usaha Kerajaan Negeri dalam merealisasikan objektif SMJ.

Menurut Presiden SBCC Datuk Hasnol Ayub yang mengetuai delegasi bersama Presiden SUCCC Tan Sri Andrew Liew Sui Fatt dan Pemangku Presiden KCCI Datuk Ladislaus Maluda, mereka telah memberi taklimat kepada Hajiji tentang penubuhan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada tiga dewan perniagaan itu.

“Sebelum ini kami mempunyai kerjasama yang tidak kukuh, jadi sekarang kami percaya ia adalah masa yang sesuai untuk kami mengeratkan hubungan antara kami supaya kami bersatu dari segi tujuan,” kata Hasnol selepas mengadakan mesyuarat dengan Ketua Menteri.

Hasnol berkata mereka juga telah memaklumkan kepada Ketua Menteri bahawa mereka bercadang untuk mengadakan lawatan perniagaan ke perniagaan (B2B) ke Nusantara untuk mewujudkan rangkaian perniagaan berikutan peralihan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana menyokong tiga dewan perniagaan ini dan kami berharap dapat membantu Kerajaan Negeri kerana kami telah mengeratkan hubungan secara rasmi antara kami,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *