Tujuh pelajar UMS terima ‘Bursary Award 2021’

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU : Seramai tujuh pelajar lepasan Program Asasi Sains Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikenalpasti layak menerima sumbangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) ‘Bursary Award 2021’.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar berkata, usaha yang dilaksanakan itu adalah sebagai satu tekad SESB bagi membantu memperkasakan pendidikan anak-anak di Sabah.

Katanya, inisiatif ini merupakan bantuan pendidikan dalam bentuk anugerah yang diberikan kepada pelajar golongan B40 yang layak.

“Selain itu penerima juga telah melepasi Program Asasi Sains di UMS dan seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang mechanical, electrical, electrical electronic dan civil di Fakulti Kejuruteraan di UMS.

“Setiap pelajar yang berjaya akan dianugerahkan wang berjumlah RM10,000 secara one-off,” katanya ketika berucap sempena Majlis Riang Ria Aidilfitri dan Kaamatan 2022 di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri yang juga Ahli Lembaga Pengarah SESB Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai dan Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Mohd Yaakob berkata, program ini adalah salah satu inisiatif tanggungjawab korporat sosial (CSR) SESB yang meliputi bidang pendidikan, kebajikan, sukan dan pemuliharaan alam sekitar. 

Katanya, sumbangan yang diberikan  SESB adalah sebagai usaha memberikan yang terbaik kepada masyarakat khasnya mereka yang memerlukan bagi meningkatkan pendidikan mereka dengan memberikan bantuan kepada yang kurang berkemampuan.

“Majlis yang diadakan pada hari ini turut diselitkan dengan pemberian sumbangan kepada anak yatim yang terdiri daripada anak-anak warga kerja SESB yang telah pergi dan meninggalkan kita.

“Semoga serahan sumbangan ini dapat menceriakan anak-anak yang ditinggalkan. SESB juga telah memilih Masjid As-Salam Kampung Contoh Petagas dan Surau Mahabbah, Kampung Muhibbah Petagas untuk menerima sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM5,000.00. 

“Semoga sumbangan ini akan memberikan manfaat kepada penerima yang terpilih dan menjadi pahala berpanjangan kepada SESB,” katanya.

Terdahulu, Mohd Yaakob berkata, Majlis Riang Ria Aidilftiri dan Kaamatan yang dianjurkan itu adalah gabungan sambutan Hari Raya Aidilftri dan Pesta Kaamatan yang diraihkan oleh penganjur suku kaum  Kadazan Dusun.

“Penganjuran majlis ini memberikan peluang kepada kita untuk sama-sama berkongsi keceriaan budaya, pakaian, makanan dan juga adat resam pelbagai suku kaum di dalam kalangan warga kerja SESB serta rakan strategik SESB.

“Saya yakin, amalan ini akan menjadi satu pelaburan yang memberikan impak besar kepada keluarga besar SESB dan menyumbang kepada perpaduan dan keharmonian sesama kita. Untuk menjadi sebuah organisasi yang terbilang, kunci utama ialah kerjasama dan bersatu tidak kira pangkat, bangsa, agama dan fahaman politik,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *