Sediakan pangkalan data daerah, mudahkan proses pembangunan dilaksanakan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu pentadbiran di peringkat daerah menyediakan pangkalan data yang lengkap khususnya melibatkan portfolio daerah bagi memudahkan proses pembangunan dilaksanakan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, setiap daerah juga perlu menyenaraikan projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan selain data penduduk di setiap kampung terlibat.

“Dengan adanya bank data itu nanti akan memudahkan kerajaan merancang serta melaksanakan projek-projek pembangunan mengikut keutamaan serta keperluan penduduk setempat.

“Ini juga penting agar tidak ada pertindihan peruntukan dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Tenom di Dewan Masyarakat Datuk Seri Panglima Antanom di sini baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Yakub Khan, Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin, Ketua Penerangan yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenom Datuk Raime  Unggi .

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pangkalan data itu penting bagi mengenal pasti projek pembangunan yang sedia ada di setiap daerah khususnya bagi kes kerosakan melibatkan infrastuktur.

Katanya, kes kerosakan melibatkan infrastuktur itu sering dikaitkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) namun ianya dibina dan dilaksanakan melalui peruntukan dari agensi lain seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pegawai Daerah juga perlu tahu jumlah rumah dan penduduk di setiap kampung yang ada di daerah masing-masing, dimana ini akan memudahkan lagi proses penyaluran peruntukan dan bantuan selaras dengan keperluan masyarakat akar umbi.

“Data ini  penting agar tidak ada penduduk terlepas dari bantuan dan pembangunan insfrastruktur asas  seperti jalanraya, bekalan air bersih dan elektrik.

“Kita mahu memastikan kemudahan prasarana masyarakat luar bandar terus diberi perhatian agar keseimbangan dalam pembangunan dapat diwujudkan  agar tidak ada masyarakat terpinggir dari menikmati pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Bung turut menyarankan agar pentadbiran di peringkat daerah  perlu beralih kepada sistem digital bagi membolehkan langkah penjimatan kewangan dalam sistem urus tadbir daerah dapat dilakukan.

“Pegawai-pegawai daerah perlu sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan kordinasi dalam sistem pentadbiran daerah dapat diwujudkan.

“Sekiranya struktur yang ada dalam sistem pentadbiran tidak dapat dikordinasi dengan baik, ia akan menyebabkan berlakunya ke lawatan pembangunan dan ketirisan kewangan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *