HomeIsu tempatanModal insan bertaraf dunia diperlukan penuhi kehendak pasaran tenaga kerja

Modal insan bertaraf dunia diperlukan penuhi kehendak pasaran tenaga kerja

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU : Penghasilan modal insan bertaraf dunia amat diperlukan di negara ini bagi memenuhi kehendak pasaran tenaga kerja pada masa kini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Datuk ChM Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, pihak industri sentiasa berharap institusi pendidikan tinggi (IPT) berupaya menampung keperluan tenaga kerja bagi memacu pengeluaran ke tahap optimum.

Katanya, usaha bagi menghasilkan modal insan yang berkualiti memerlukan sistem pendidikan yang cemerlang.

“Ini kerana melalui proses pendidikan, pelajar mampu menggilap potensi diri, melengkapkan diri dengan kemahiran tertentu dan kemahiran generik sebelum menempuh alam pekerjaan.

“Sehingga kini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai pelan transformasi dengan matlamat untuk memantapkan lagi sistem pendidikan di Malaysia agar lebih berkualiti sebagai landasan untuk melahirkan modal insan kreatif malah lebih inovatif

“Selain itu turut berkemahiran tinggi dalam mencapai aspirasi memacu ekonomi Malaysia. Adalah menjadi usaha berterusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memperkasakan pendidikan tinggi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jom Masuk IPT tahun 2022 peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Taufiq berkata, Revolusi Industri Keempat (RI4.0) telah mengubah sepenuhnya landskap dunia ke arah penghasilan modal insan yang berupaya memenuhi piawaian hebat pelbagai pihak.

Katanya, teknologi robotik, objek rangkaian (IOT), kepintaran buatan (AI), data analitik, pemprosesan imej, perisian, sistem komunikasi mudah alih, percetakan tiga dimensi (3D), keselamatan siber, simulasi dan integrasi sistem digital antara elemen baharu yang mengambil alih fungsi pekerjaan dan sistem sedia ada.

“Bagi menghadapi cabaran RI4.0 saya percaya KPT akan memacu perubahan senario sektor pendidikan tinggi negara, antaranya dengan meningkatkan kompetensi para pensyarah dalam memastikan pelajar mampu mendepani keperluan pasaran pekerjaan selepas menamatkan pengajian dan mampu merealisasikan agenda ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Taufiq berkata, Kerajaan sentiasa memastikan kecemerlangan semua institusi pendidikan tinggi adalah seiring dengan kualiti graduan yang dihasilkan.

Katanya, mutu pendidikan tinggi negara telah dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi menjamin kelangsungan kemajuan negara secara berterusan dan bagi menghasilkan modal insan kelas pertama.

“Justeru, para bakal mahasiswa perlu mengambil peluang memilih bidang yang bersesuaian di mana-mana institusi pendidikan tinggi dan kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya