HomeUtamaKoperasi di Sabah diminta tingkatkan daya saing, rebut peluang, kerja keras buat...

Koperasi di Sabah diminta tingkatkan daya saing, rebut peluang, kerja keras buat perubahan ke arah transformasi Sabah – Hajiji

Read Time:2 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Semua gerakan koperasi di Sabah diminta untuk memperkasakan diri, meningkatkan daya saing, merebut peluang ekonomi yang tersedia, bekerjasama dan bekerja keras untuk membuat perubahan ke arah transformasi Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sehingga 31 Disember lalu, Sabah mempunyai sebanyak 1,652 koperasi dengan keahlian seramai 339,000 berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Ia membabitkan perolehan (turnover) koperasi sejumlah RM470.8 juta, dengan kekuatan aset sebanyak RM 887.1 juta dan pemilikan syer dan yuran sebanyak RM218.6 juta.

“Sabah adalah sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam semulajadi. Justeru, koperasi di Sabah haruslah bijak mengunakan sumber alam yang ada untuk menjalankan aktiviti pengeluaran atau perkhidmatan yang boleh memberi pulangan yang lumayan.

“Dalam masa sama, gerakan koperasi di negeri ini perlu sentiasa bersiap sedia untuk menyesuaikan diri dengan arus perubahan bagi menghadapi segala cabaran dalam persekitaran perniagaan terutama selepas pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

“Saya juga yakin dengan kelonggaran terhadap pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan sebelum ini, ekonomi negeri yang kembali rancak memberi kelegaan kepada usahawan termasuklah gerakan koperasi. Ini terutamanya koperasi yang menjalankan aktiviti pelancongan yang terjejas sepanjang pandemik COVID-19, sejak lebih dua tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Koperasi Sempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di Palm Square, di Kompleks Beli Belah Centre Point di sini, pada Ahad.

Ucapan Ketua Menteri disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya.

Sejajar dengan itu katanya, satu perkara yang penting dalam menjayakan pembangunan koperasi ialah pihak kepimpinan dan pengurusan koperasi bertanggungjawab dalam urusan mentadbir serta mengurus koperasi.

“Pemimpin sesebuah koperasi perlu merancang dan menilai pelaburan yang sesuai dan boleh membawa pulangan kepada ahli tanpa mengabai matlamat utama koperasi untuk meningkatkan perkhidmatan yang didapati dari koperasi yang dianggotai.

“Saya yakin sektor koperasi di negeri ini akan mampu berkembang dan bergerak seiring dengan sektor perniagaan yang lain (swasta) sekiranya diurus tadbir dengan efisien, telus dan profesional,” katanya

Beliau berkata kerjasama strategik antara SKM dengan agensi kerajaan negeri ini seperti Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) yang bertanggungjawab membantu pembangunan perindustrian dan keusahawanan di negeri Sabah, adalah satu usaha yang amat dialu-alukan.

Katanya, ini sejajar dengan objektif pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 (2021-2025) yang antaranya memfokuskan kepada merangsang pemulihan ekonomi dan meningkatkan ekonomi rakyat.

“Saya dimaklumkan bahawa sebelum ini pihak SKM Sabah pernah menyuarakan hasrat agar portfolio koperasi dapat diletakkan dalam satu kementerian di bawah kerajaan negeri Sabah, namun pihak kerajaan pada masa itu belum mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Oleh itu, saya akan bawa perkara ini ke Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah untuk dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, gerakan koperasi di Malaysia bermula sebelum merdeka lagi iaitu pada tahun 1922 dan pada tahun ini genaplah 100 tahun kewujudan entiti koperasi di negara ini.

“Di Sabah, permulaan penubuhan koperasi adalah pada tahun 1959, namun masih ada koperasi yang tetap bertahan dan semakin aktif hingga ke hari ini iaitu Koperasi Green Berhad yang didaftarkan pada 18 Ogos 1959.

“Suatu pencapaian yang membanggakan dan saya pasti ia menjadi semangat kepada Gerakan koperasi di negeri ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Draf Kertas Kabinet Mengenai Pengasingan Kuasa AG Dijangka Siap Pertengahan Tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular