HomeUtamaRM1.02 juta bantuan pendidikan disalurkan di Beaufort, Membakut

RM1.02 juta bantuan pendidikan disalurkan di Beaufort, Membakut

Read Time:2 Minute, 13 Second

BEAUFORT: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan pendidikan sebanyak RM1.02 juta kepada lebih 100 buah sekolah di daerah ini termasuk daerah kecil Membakut.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, peruntukan bantuan itu disalurkan menerusi dua inisiatif kerajaan iaitu Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Bantuan itu melibatkan 103 buah sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan 37 buah di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS).

“Pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15.5 juta bantuan pendidikan bagi bantuan BISBAH dan BAGUS untuk diagihkan kepada semua sekolah di seluruh Sabah.

“BISBAH merupakan bantuan peralatan IT untuk sekolah iaitu satu set komputer desktop, seunit komputer riba, dua unit mesin pencetak dan seunit alat projector. Peralatan-peralatan ini amat diperlukan oleh pihak sekolah khasnya para guru dalam kerja seharian mendidik anak bangsa.

“Manakala, BAGUS pula adalah bantuan kewangan bernilai RM2,000 yang diberikan kepada PIBG untuk membolehkan setiap PIBG melaksanakan aktiviti yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan itu di Dewan Kolej Vokasional Beaufort di sini semalam.

Turut menerima bantuan BISBAH adalah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort bernilai RM10,000.

Mohd Arifin berkata, Bantuan Pendidikan Negeri Sabah 2022 yang dilancarkan 19 Januari lalu dengan peruntukan RM35 juta akan disalur kepada pelbagai kumpulan pelajar yang layak menerusi beberapa inisiatif.

Antaranya, Bantuan Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) dan Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI).

“Perbelanjaan yang besar ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan modal insan khasnya anak-anak Sabah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Dalam perkara ini, Kerajaan Sabah akan terus menyokong dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan agensi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di Sabah seperti Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dan Institusi Pengajian Tinggi,” katanya.

Pada majlis itu, Mohd Arifin turut menyampaikan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) iaitu bantuan komputer riba khusus bagi golongan pelajar golongan B40 kepada empat orang pelajar di Beaufort dan Membakut.

Turut disampaikan, bantuan daripada Bahagian Zakat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) iaitu Dana Penerima Bantuan Bulanan MUIS berjumlah RM 1,107,600 dan RM 517,800 masing-masing kepada 270 Ketua Isi Rumah (KIR) asnaf fakir bagi Daerah Beaufort dan 126 KIR Daerah Kecil Membakut.

Sumbangan RM5,000 bagi aktiviti dakwah dan keagamaan juga diberikan MUIS kepada Badan Dakwah Daerah Beaufort, Daerah Kecil Membakut dan Pejabat Pendidikan Daerah Beaufort.

Ketiga-tiga badan tersebut turut menerima sumbangan kewangan bagi melaksanakan aktiviti keagamaan masing-masing RM5,000 daripada MUIS dan RM2,000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Program ‘Education For Us’ mampu perkasa peranan PIBG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya