TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan sarat dengan muatan pelbagai barangan termasuk barangan kawalan di perairan Sungai Melayu, Tawau sekitar jam 9.45 malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, menerusi rondaan yang dilaksanakan, bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan pergerakan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan bergerak dari arah perairan Batu Tiga menuju ke Pulau Sebatik.
“Pemeriksaan awal ke atas bot terbabit mendapati bot telah dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 27 tahun.
“Semasa proses pemeriksaan dokumentasi, tekong bot terbabit telah gagal mengemukakan permit berkaitan barangan yang dibawa dan disyaki bot terbabit membawa barang kawalan secara berlebihan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shahrizan berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot kargo tersebut telah menemukan sejumlah 50 unit tong gas LPG, 2400 kilogram gula pasir,1480 kilogram daging beku dan lebih 100 kotak barangan kosmetik pelbagai jenis yang dimuatkan di dalam bot kargo tersebut.
Katanya, Zon Maritim Tawau akan membuat siasatan lanjut tentang kemungkinan cubaan untuk menyeludup keluar barang kawalan tersebut ke negara jiran berikutan kedudukan Pulau Sebatik yang hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia.
“Tekong beserta bot dan muatan ditahan serta diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut. Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM161,000.
“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.
Sementara itu, Shahrizan berkata, bagi suku tahun kedua tahun ini,Zon Maritim Tawau telah melaksanakan 36 kes tangkapan pelbagai kesalahan dengan 1,222 pemeriksaan rutin di Perairan Tawau.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi,” katanya.