Kota Kinabalu – – Sepasukan guru dari Kolej Vokasional Keningau telah menjuarai GoAbroad Innovation Awards kategori Innovative TEFL/Teach Abroad Program untuk tahun 2022.
Keputusan pertandingan yang berpusat di Colorado, Amerika Syarikat, itu diumumkan secara bersemuka di majlis penyampaian anugerah di Amerika Syarikat pada 2 Jun 2022 dan disusuli dengan pengumuman di laman sesawang penganjur pada 3 Jun 2022.
Pasukan dari kolej Vokasional Keningau yang terdiri daripada empat orang guru iaitu Larry James, Alvinah Tony, Akmal Rosimun dan Sirhajwan Idek itu mengetengahkan Projek pendidikan mereka yang dinamakan “Omiyage”.
Omiyage yang bermaksud hadiah dalam bahasa Jepun adalah berasaskan tradisi dan amalan negara Jepun yang mereka terokai untuk mempelbagaikan strategi pembelajaran ujar wakil guru berkenaan kepada Sabah Media.
Menurutnya tujuan projek ini adalah untuk membimbing para pelajar serta guru untuk mempelajari dan mengaplikasikan beberapa amalan tradisi dan moden negara tersebut seperti haiku, pechakucha, manga, Keitai Shousetsu dan Daruma Otoshi.
Malah ramai pelajar pelajar-pelajar di kolej tersebut yang telah menghasilkan hasil karya seni mereka seperti haiku (puisi) dan manga (komik).
Beberapa pelajar juga telah mencuba stail pembentangan pechakucha apabila menyertai simposium dalam talian.
Dalam pada itu Pengarah kolej Vokasional Keningau, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, mengucapkan tahniah kepada pasukan itu kerana usaha mereka ini mampu meningkatkan kemahiran sosiobudaya para pelajar dan mengukuhkan kualiti pendidikan kolej tersebut melalui program pengantarabangsaan sebegini.
Senarai pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan boleh diakses melalui laman sesawang: https://blog.goabroad.com/2022-goabroad-innovation-award-winners-announced/