KOTA KINABALU : Kerajaan sentiasa menggalakkan dan memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan bagi melaksanakan projek-projek di negeri ini termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kontraktor tempatan juga perlu membuktikan keupayaan mereka dalam melaksanakan suatu kerja yang diberikan oleh kerajaan.
“Secara dasar dan prinsipnya kita (kerajaan) mahu memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan dalam melaksanakan kerja-kerja yang diberikan termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
“Namun mereka perlu menunjukkan bahawa mereka itu layak termasuklah dari segi kemahiran tenaga kerja serta keupayaan kewangan dimana akhirnya nanti pembangunan infra ini adalah untuk kebaikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Pendaftaran Kontraktor dan Penyampaian Anugerah Khas Kontraktor dan Pengilang di sini hari ini.
Hadir sama,Timbalan Ketua Eksekutif 2 CIDB Malaysia Sr Mohd Zaid Zakaria dan Pengarah CIDB Sabah Rosmen Awang Hassan.
Arthur berkata, kontraktor yang tidak berupaya menunjukkan keupayaan dalam melaksanakan suatu projek berkemungkinan akan menimbulkan isu yang lebih besar kepada pelbagai pihak.
“Justeru itu kontraktor terlibat perlu layak dan berupaya untuk melaksanakan suatu projek selain boleh bersaing dengan yang lain,” katanya.
Sementara itu, Arthur berkata, pihaknya turut menggalakkan agar lebih ramai kontraktor khususnya di negeri ini untuk lebih berdaya saing khususnya dalam sektor pembinaan.
Katanya, kontraktor di negeri ini juga perlu mempunyai sasaran bagi mendapatkan lebih banyak anugerah dalam sektor pembinaan pada masa akan datang.
“Sektor pembinaan khususnya di Sabah merupakan sektor yang berpotensi tinggi, jadi harapan kita agar kontraktor tempatan dapat bersaing untuk mendapat peluang dari kontrak atau projek yang akan datang ke Sabah dalam tahun akan datang,” katanya.