HomeUtamaNegeri Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik

Negeri Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik

Read Time:2 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan menarik di rantau ini khususnya pelaburan berkaitan industri minyak dan gas.

Selain pada masa yang sama memastikan kepentingan menjaga alam sekitar dan menangani perubahan iklim.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, industri minyak dan gas di Sabah terus menjadi penyumbang ketara kepada pertumbuhan ekonomi negeri dengan melibatkan Kerajaan Negeri secara aktif melalui agensinya dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Perbadanan Kemajuan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC), Sabah International Petroleum (SIP), Sabah Energy Corporation (SEC) dan juga entiti yang baru ditubuhkan SMJ Sdn Bhd.

“Dalam beberapa bulan lalu, kita telah melihat kerancakan dalam aktiviti berkaitan minyak dan gas. Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) telah dimeterai antara Kerajaan Negeri dan Petronas. CCA menyediakan platform kepada kedua-dua pihak di peringkat tertinggi untuk membolehkan Petronas berkongsi aspirasi Kerajaan Negeri dan rakyat untuk melakarkan pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.

“Ini diikuti dengan pelancaran Pelan Induk Gas Sabah 2026-2040 yang melihat peruntukan gas asli yang akan digunakan untuk LNG, untuk industri bahan api dan untuk penjanaan kuasa.

Pada Ulang Tahun Pertama Rancangan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) pada 29 Mac 2022, beberapa perjanjian antara Perjanjian Kerjasama Bersama (JCA) hingga Memorandum Persefahaman (MOU) dan Perjanjian Sublease telah ditandatangani antara pelbagai syarikat dan SOGDC yang memiliki dan membangunkan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

“Dijangka pelaburan syarikat-syarikat yang dianggarkan lebih RM20 bilion ini, apabila direalisasikan, akan membawa kesan limpahan ekonomi yang luar biasa bukan sahaja kepada masyarakat di Sipitang tetapi juga daerah sekitar seperti Beaufort, Papar dan Tenom, ” katanya ketika merasmikan Persidangan & Pameran Minyak & Gas Sabah (SOGCE) ke-9 2022 di sini hari ini.

Joachim turut mengucapkan tahniah kepada Midas kerana berjaya menganjurkan SOGCE, dan mengambil maklum bahawa kertas kerja yang diliputi semasa SOGCE ke-9 adalah berkaitan dengan isu-isu yang mempunyai impak yang besar kepada pembangunan sosio-ekonomi Sabah dan rakyat amnya.

Sebagai contoh, katanya, Kerajaan Negeri melihat kepentingan pembangunan modal insan.

“Ada keperluan untuk menilai bakat tempatan yang sedia ada dan menambah baik mereka bagi memenuhi keperluan industri minyak dan gas, pembuatan dan pembinaan,” katanya sambil menambah Kerajaan Negeri juga melihat kepentingan menjaga alam sekitar dan perubahan iklim.

“Saya melihat persidangan ini turut membincangkan mengenai tenaga boleh diperbaharui, cabaran dan peluang dalam peralihan tenaga, sumber tenaga lain yang tersedia untuk diterokai yang akan memberi manfaat kepada generasi kita akan datang,” katanya.

Beliau berharap SOGCE yang bertindak sebagai pusat sehenti interaksi pembekal teknologi dan pakar dalam industri minyak dan gas dapat membantu Kerajaan Negeri dalam melaksanakan Pelan Pembangunan SMJ.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID), Thomas Logijin; Pengarah Urusan Perbadanan Kemajuan Minyak dan Gas Sabah, Abdul Kadir Damsal; Ketua, Sumber, Exploration Malaysia Petroleum Management PETRONAS, Azmir Zamri; Ketua Pegawai Eksekutif Petra Energy Bhd, Datuk Anthony Bujang; Pengerusi Penganjur Persidangan & Pameran Minyak & Gas Sabah, Pengarah Projek Pengurusan Acara Midas, Dolly Jimayol; dan Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek & Teknologi PETRONAS, Bacho Pilong.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Juhar banyak menyumbang kepada Sabah sepanjang tempoh perkhidmatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular