HomeUtamaKerajaan mulakan operasi pembenihan Awan di empangan Tasik Merah Minggu Depan -Ronald

Kerajaan mulakan operasi pembenihan Awan di empangan Tasik Merah Minggu Depan -Ronald

Read Time:2 Minute, 24 Second

CYBERJAYA — Isu bekalan air dihadapi pesawah di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian di Perak dan Sungai Acheh, Pulau Pinang, bakal diselesaikan melalui operasi pembenihan awal dijadualkan bermula Selasa depan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata kerajaan bersetuju melaksanakan operasi berkenaan selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Jun, bergantung pada bergantung kepada kesediaan awan dan kelembapan yang sesuai.

Inisiatif berkenaan antara lain bagi mengelakkan risiko lebih 20,000 hektar sawah di kawasan IADA Kerian dan sebahagian daripada sawah di IADA Pulau Pinang yang berkeluasan 1,267 hektar terjejas apabila bekalan air dihentikan susulan penyusutan paras air Tasik Bukit Merah.

“Inisiatif berkenaan akan dijayakan dengan kerjasama IADA Kerian dan IADA Pulau Pinang, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi berkaitan lain.

“Operasi di kawasan tadahan empangan Bukit Merah di Semanggol, Kerian itu bakal memberi manfaat di kawasan sawah seluas 19,058 hektar di IADA Kerian dan sebahagian IADA Pulau Pinang yang berkeluasan 1,267 hektar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, seramai 8,889 pesawah di kawasan IADA Kerian dan 1,267 pesawah dari kawasan IADA Pulau Pinang akan mendapat manfaat daripada inisiatif itu, begitu juga subsektor selain daripada padi iaitu perikanan dan perkilangan.

Beliau berkata, operasi berkenaan membabitkan satu proses untuk menggalakkan pembentukan awan hujan susulan penyusutan paras air di Empangan Bukit Merah yang menjadi sumber utama pengairan pertanian di kawasan penanaman padi berkenaan.

Ronald memaklumkan, paras air di Empangan Bukit Merah kini mencapai kategori Kritikal Pangairan Tahap 3 iaitu 6.10 meter (20 kaki).

“Jadi, inisiatif itu bakal meningkatkan paras takungan empangan bagi menampung keseluruhan keperluan domestik dan tanaman padi,” katanya.

Beliau berkata, sumber air yang terhad, perubahan cuaca, pencerobohan rizab, perubahan guna tanah serta pembaziran air antara isu dan cabaran rancangan pengairan yang sering berlaku.

Berikutan itu, katanya, MAFI akan berbincang dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), MET Malaysia, Kerajaan Perak dan agensi-agensi berkaitan lain untuk mencari kaedah jangka panjang bagi menyelesaikan isu air itu.

Jumaat minggu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria, berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menghentikan pengairan ke sawah bermula 27 Mei lalu berikutan takungan air Tasik Bukit Merah susut ke paras bahaya.

Keadaan itu menjejaskan sawah padi seluas 12,400 hektar di daerah Bagan Serai, Semanggol dan Selinsing dan menyebabkan lebih 100 penduduk membuat solat hajat serta solat sunat istisqa bagi memohon hujan kembali memenuhi tasik berkenaan. 

Setakat Jumaat minggu lalu, padi ditanam berusia 20 hingga 40 hari yang memerlukan air dalam kuantiti banyak dan pesawah terpaksa menakung air yang dijangka hanya dapat bertahan antara tujuh hingga 14 hari dan akan kering jika tiada hujan dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Sham Mat Saha pula meminta pembekalan air untuk kawasan perindustrian di Taiping dan ternakan ikan arowana dihentikan sementara berikutan penyusutan air di Tasik Bukit Merah.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Sabah siap sedia untuk Hidrogen Hijau menerusi Tenaga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya