Buang air kecil merata, Dua lelaki diburu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

CYBERJAYA -— : Polis sedang mencari dua lelaki selepas disyaki berkelakuan tidak senonoh di tempat awam dengan membuang air kecil di bawah pokok berhampiran Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Tanjung Kupang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata berdasarkan gambar yang tular di media sosial kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Beliau berkata, semakan mendapati kejadian berkenaan berlaku di laluan masuk kenderaan ringan dari Singapura ke Malaysia, dengan tarikh terbabit pada hari hujung minggu lapor Portal BH.

“Kejadian (membuang air kecil) itu berlaku ketika waktu berlakunya kesesakan aliran lalu lintas kenderaan dari Singapura ke Malaysia.

“Jarak dari tempat tular ke tandas awam berdekatan sejauh kira-kira satu kilometer, iaitu sekiranya pemilik meninggalkan kenderaannya di bahu jalan dan berjalan kaki ke tandas awam akan menyebabkan kesesakan bertambah teruk,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Rahmat berkata, pelaku berkenaan sedang dikesan untuk diambil keterangan.

“Perbuatan itu adalah berkelakuan tidak senonoh di tempat awam mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.

“Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa supaya perkara seperti ini tidak akan berulang lagi,” katanya.

Gambar berkenaan tular di media sosial Facebook yang memaparkan dua lelaki sedang membuang air kecil di bawah pokok di lokasi berhampiran KSAB.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *