HomeUtama100 syarikat pemula, PKS dijangka sertai BBA menjelang suku tahun kedua 2023

100 syarikat pemula, PKS dijangka sertai BBA menjelang suku tahun kedua 2023

Read Time:2 Minute, 51 Second

PUTRAJAYA : Sebanyak 100 syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sedia ada atau baharu dalam sektor pertanian, perindustrian dan penjagaan kesihatan Malaysia dijangka akan menyertai Program Bio-based Accelerator (BBA) menjelang suku kedua tahun 2023.

Program BBA yang dilancarkan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) menawarkan aktiviti bimbingan dan sokongan kepada syarikat- syarikat pemula dan PKS berasaskan bio.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kinadee berkata, ianya adalah bagi merapatkan jurang dari aspek penerapan dan penggunaan teknologi, kemahiran, kewangan, kawal selia, dan kebolehpasaran produk.

Katanya, program itu juga membolehkan mereka menaik taraf dalam kepakaran dan menjadi syarikat yang matang dan menggunapakai teknologi.

“Program BBA mampu memperkukuhkan lagi agenda Sekuriti Makanan Negara dengan membantu syarikat baru, perniagaan mikro atau syarikat besar yang berasaskan bio dengan menjadikannya lebih berinovatif melalui penggunaan sains, teknologi dan automasi di dalam operasi perniagaan masing-masing.

“Setakat ini, sebanyak 49 buah syarikat telah mendapat kelulusan status BBA dengan unjuran nilai pelaburan sebanyak RM737 juta yang dapat menyediakan hampir 2,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun.

“Bioeconomy Corporation menyasarkan nilai pelaburan keseluruhan sebanyak RM2 billion ringgit menjelang akhir tahun 2025 dengan 70 peratus daripada syarikat-syarikat yang terlibat mengadaptasi teknologi dan automasi di dalam perniagaan mereka,”  katanya dalam pelancaran rasmi BBA di sini hari ini.

Ronald berkata, bioteknologi merupakan salah satu tumpuan Kementerian bagi tempoh 10 tahun akan datang di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) bagi meningkatkan menggunapakai teknologi terutamanya bioteknologi dan mempercepatkan pertumbuhan syarikat pemula melalui kerjasama dan program berasaskan bio dalam meningkatkan pelaburan baru, selaras dengan program BBA.

Sementara itu, Pengerusi Bioeconomy Corporation, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkata, BBA juga membolehkan syarikat berasaskan bio yang masih belum mengaplikasikan aktiviti-aktiviti berasaskan bioteknologi untuk mengembangkan potensi mereka dan menjadi syarikat berstatus BioNexus.

Katanya, status ini melayakkan mereka untuk menerima insentif cukai khas, serta kemudahan dan jaminan lain yang seterusnya membantu pertumbuhan mereka.

“Sehingga suku keempat 2021, 252 syarikat berstatus BioNexus merekodkan pelaburan direalisasikan bernilai RM4.1 bilion, iaitu peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding tempoh yang sama pada 2020 walaupun endemik berterusan.

“Kami percaya angka ini akan bertambah baik apabila syarikat BBA akhirnya meningkatkan rantaian nilai untuk menjadi syarikat berstatus BioNexus,” katanya.

Sempena majlis pelancaran program BBA, Bioeconomy Corporation yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, telah bertukar dokumen MoU dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang diwakili oleh Ahli Lembaga Pengurusan, Mohd Yazid Abdul Majid.

Perjanjian tersebut menandakan kerjasama antara kedua-dua belah pihak untuk meningkatkan  penglibatan dan membangunkan program-program fasilitasi dan bimbingan untuk syarikat-syarikat dalam industri berasaskan bio di Malaysia, termasuklah syarikat-syarikat di bawah program BBA.

Melalui program BBA ini, syarikat boleh mengambil bahagian dalam pelbagai latihan dan program pembangunan yang berkaitan dengan pembangunan produk, kemudahan teknologi, akses pasaran, dan bantuan pembiayaan.

BBA juga menawarkan sesi pemindahan pengetahuan, latihan, pembentangan idea (pitching) dan sesi kesediaan produk, serta perkongsian makmal atau kemudahan melalui Program Rakan Kongsi BioNexus (BNP) untuk mempromosikan kesediaan teknologi dan komersial di kalangan syarikat.

Dengan asuhan strategik yang disediakan, syarikat BBA boleh bersedia untuk memohon pelbagai pensijilan termasuk GMP, HACCP, MESTI dan Halal.

Syarikat-syarikat itu juga berpeluang untuk menyertai inisiatif Bioeconomy Corporation seperti Biokerjaya @ My Future Agro untuk pekerjaan, Dana Teroka Asas Tani (AGFV) untuk pembiayaan, dan Rangka Tindakan Bioekonomi, iaitu strategi 10 tahun untuk industri bioteknologi dan berasaskan bio yang akan dilancarkan pada tahun 2022.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://tinyurl.com/bdertkt9

RELATED ARTICLES
Utama

Tandas bersih kriteria utama perbaharui lesen perniagaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular