HomeUtama Malaysia perlu tingkat usaha agar semua nikmati manfaat ekonomi - Mustapa

 Malaysia perlu tingkat usaha agar semua nikmati manfaat ekonomi – Mustapa

Read Time:2 Minute, 32 Second


KOTA KINABALU:
 Walaupun kekal optimis terhadap unjuran ekonomi bagi tempoh terdekat, Malaysia perlu berusaha bagi memastikan agar pertumbuhan dan pemulihan ekonomi tersebut dapat dikongsi secara saksama oleh semua rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata berdasarkan laporan Bank Dunia, isi rumah di Sabah dan Sarawak selain wilayah utara dan timur Semenanjung, mencatat kemajuan lebih perlahan dari segi pekerjaan dan pendapatan berbanding wilayah lain.

Menurutnya, sebagai contoh, jurang perbezaan keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita pada 2020 bagi wilayah tengah seperti Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka berbanding Sabah dan Sarawak masing-masing pada 2.7 peratus dan 1.3 peratus. 

“Dalam Rancangan Malaysia ke-12, kita telah menyasarkan untuk mengurangkan jurang tersebut kepada 2.5 peratus bagi Sabah dan 1.2 peratus untuk Sarawak. Ini adalah matlamat yang sederhana yang saya percaya dapat kita capai.

“Peningkatan tertinggi bagi kemiskinan melibatkan negeri-negeri yang ketinggalan seperti Sabah, Kelantan, Sarawak dan Kedah. 

Kita telah berusaha gigih untuk mengurangkan keadaan ini dan isu pembasmian kemiskinan akan kekal tinggi sekiranya tidak dijadikan antara keutamaan dalam agenda kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman ucapannya pada majlis pelancaran Laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia Jun 2022 oleh Bank Dunia bertajuk ‘Catching Up: Inclusive Recovery and Growth for Lagging States,’ di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pengarah Negara Bank Dunia Bagi Brunei, Malaysia dan Filipina selain Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Saiful Anuar Lebai Hussen.

Mustapa berkata EPU dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) juga menerajui usaha menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia dengan melaksanakan pendekatan inovatif bagi menangani isu tersebut.

“Program tersebut menumpukan kepada penyelesaian tempatan yang disediakan khusus mengikut kekuatan unik komuniti tertentu. Fasa pertama akan merangkumi 80 tempat yang sudah pastinya akan mengutamakan negeri-negeri dengan kadar kemiskinan tertinggi.

“Jurang (kemiskinan) antara negeri-negeri ini adalah besar. Kita perlu mengurangkan jurang ini jika mahu mencapai Keluarga Malaysia yang terbukti bahagia dengan semangat muhibah dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa,” katanya.

Mustapa turut mengingatkan agar semua pihak terus berusaha sedaya upaya bagi membantu pertumbuhan kawasan-kawasan terpinggir Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berharap laporan Bank Dunia tersebut akan memberi input kepada kerajaan untuk menggubal dasar-dasar yang dapat memastikan hasil pembangunan itu dikongsi secara saksama oleh semua bahagian negara ini.

Menurutnya, atas keutamaan itu juga, matlamat kerajaan adalah menjadikan ekonomi lebih terangkum dan berupaya membasmi kemiskinan tegar.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam rakaman ucapannya berkata biarpun Sabah merekodkan perolehan hasil tertinggi sebanyak Sabah RM5.4 bilion pada 2021, negeri itu sebaliknya masih dalam proses pemulihan.

Pada masa sama, Sabah juga berdepan pelbagai isu akibat COVID-19, termasuk peningkatan kadar kemiskinan dan pengangguran belia yang ketara.

“Kerajaan Persekutuan maklum dengan keperluan kerajaan negeri menerusi komitmennya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi meningkatkan kemajuan Sabah.

“Bersandarkan semangat Keluarga Malaysia dan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya, kerjasama erat kerajaan negeri-Persekutuan akan dapat memperkukuh hubungan serta persefahaman yang dapat memacu pemulihan dan kemajuan negeri ini selain meningkatkan kehidupan warga Sabah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS utamakan kebajikan pelajar, sedia bantu Crisnanalina daftar pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular