HomeUtamaDoa ibu bapa jadi pegangan, tekad mahu jadi doktor pakar bantu rawat...

Doa ibu bapa jadi pegangan, tekad mahu jadi doktor pakar bantu rawat ayah alami strok

Read Time:2 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : “Saya tekad mahu menjadi doktor pakar saraf seterusnya merawat ayah yang kini mengalami strok,” kata Ahmad Nabil Abidin,18, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Ahmad Nabil yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu merupakan pelajar cemerlang bagi kategori A negeri Sabah dengan pencapaian keputusan iaitu 9A+, 2A dan 1A-.

Katanya, meskipun berdepan cabaran namun dia mengakui doa kedua ibu bapanya sepanjang berdepan peperiksaan SPM 2021 tetap menjadi pegangan utama bagi dirinya.

“Rahsia saya ialah, saya sentiasa mengharapkan doa ibu bapa walaupun ditimpa ujian, saya tetap minta doa mereka, itu adalah yang paling utama.

“Dalam dua tahun sebelum ini, kami memang tiada kelas secara bersemuka kalau ada pun dua hingga tiga bulan sahaja tapi Alhamdulillah, berkat doa ibu bapa saya dapat keputusan yang cemerlang ini,” katanya.

Katanya ketika ditemui selepas menerima Sijil Kecemerlangan SPM 2021 yang disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin di SMK Agama Kota Kinabalu di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Tah Nia Jaman.

Anak kedua dari lapan beradik itu tidak menjangkauntuk memperoleh kejayaan besar kerana yakin lebih ramai lagi pelajar terbaik dalam kalangan rakan-rakannya yang lain.

“Saya tidak jangka untuk dapat keputusan yang besar, namun mungkin ini sudah rezeki yang ditentukan dan saya terima dengan rasa syukur.

“Cita-cita untuk menjadi doktor pakar ini tercetus apabila ayah saya ditimpa sakit pada awal tahun ini dan dari situ saya mula menanam cita-cita untuk menjadi doktor pakar saraf selain mahu membantu orang kampung saya juga,” katanya.

Ahmad Nabil yang ditemani ayahnya Abidin Ali Hassan,53, dan ibunya Marina Kong Abdullah,46, turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada guru-guru khususnya di SMK Agama Kota Kinabalu yang banyak memberi dorongan kepada dirinya.

Mohamad menyampaikan sijil kecemerlangan kepada Ahmad Nabil dihadapan ibu bapanya

Dalam pada itu, Ahmad Nabil berkata, dalam tempoh dua tahun yang lalu juga, ibu bapanya juga turut memberi persekitaran yang baik untuk belajar di rumah ketika pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun adik-beradik lagi mengganggu tumpuan belajar, ibu bapa tidak pernah putus untuk memberi semngat selain saya juga ada mengikut kelas tambahan yang disediakan guru dan juga kelas tambahan diluar.

“Ketika ayah sakit, saya berada di asrama dan saya akan sentiasa menghubungi ibu untuk mengetahui perkembangan ayah.  Ibu selalu berkata supaya jangan risau keadaan ayah kerana ayah juga turut mendoakan saya,” katanya.

Sementara itu, ibunya Marina Kong Abdullah yang juga seorang guru kaunselor di SMK Pekan Telipok berkata anaknya pernah putus asa ketika ayahnya sakit namun mereka tetap memberi semangan untuk terus bangkit.

“Sebagai ibu saya bersyukur, dia (Ahmad Nabil) pernah jatuh namun kami sentiasa memberi semangat untuk menempuh SPM 2021,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular