KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah diminta untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan bagi memastikan ada atlet pelapis pada masa akan datang di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ini boleh dilakukan dengan mengadakan pelbagai program atau pertandingan sukan untuk mencari bakat baharu di seluruh negeri.
“Kerajaan negeri komited dalam memajukan sukan di negeri ini kerana ramai atlet muda kita yang bersaing hingga ke peringkat antarabangsa dan pernah mengharumkan nama negara.
“Ini termasuklah pelayar negara, Rufina Tan, pemain golf negara, Ben Leong dan terkini dua perenang negara seperti Janetty John Fabian serta Loo Yie Bing. Kita juga ada atlet
yang menang pingat emas di Sukan SEA di Hanoi baru-baru ini seperti Andre Anura Anuar dalam acara lompat kijang; Jellson Jabilin (akuatik terjun), Fatin Nur Fatehah Mat Salleh (memanah) dan Natahsya Soon (berbasikal).
“Justeru, saya meminta kementerian mencungkil lebh ramai bakat baharu dalam sukan agar ia ada kesinambungan dan pelapis. Saya pasti ramai anak muda kita yang bebakat sama ada dalam olahraga, badminton, renang dan berbasikal yang boleh
diketengahkan,” katanya pada Majlis Meraikan Pencapaian Atlet Sabah sempena Temasya Sukan SEA Ke-31, Hanoi 2021, di Dewan Bankuasi Menara Kinabalu, di sini pada Khamis.
Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Mansur Asun.
Sehubungan itu Hajiji berkata kerajaan negeri dalam Belanjawan 2022 telah memperuntukkan sebanyak RM52.02 juta untuk pembangunan sukan termasuk prasarana dan fasiliti sukan pada tahun ini di Sabah.
“Program pembangunan sukan bukan sahaja disasarkan untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas, tetapi juga ke arah melakar nama negeri di peringkat antarabangsa, selain melahirkan lebih ramai atlet muda di negeri ini,” katanya.
Ketua Menteri turut merakamkan turut tahniah kepada semua atlet kerana telah menjadi wira negara atau rakyat yang terbaik daripada jumlah 32 juta penduduk Malaysia untuk mewakili negara ke temasya sukan berprestij peringkat Asia Tenggara itu.
“Kami sangat berbangga dengan pencapaian anda semua kerana telah membawa kejayaan kepada negeri dan negara. Apa yang lebih membanggakan atlet kita telah membantu membawa pulamg empat pingat emas, empat perak dan 11 gangsa. Ini membuktikan bahawa anda telah menjadi atlet terbaik daripada kira-kira 681 juta penduduk di Asia Tenggara. Syabas.
“Justeru, saya berharap majlis pada hari ini menjadi pembakar semangat kepada semua atlet negeri ini agar mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya sambil menambah bahawa bahawa sebahagian besar daripada 42 atlet dari Sabah ini masih layak mewakili negeri ke Sukan Malaysia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada September depan.
Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan replika cek insentif kemenangan berjumlah RM71,450 kepada 23 pemenang pingat termasuk dalam acara berpasukan yang mewakili kontinjen negara dalam Temasya Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, baru-baru ini.