HomeIsu tempatanModul STEM COVID-19 dibangunkan bantu PDP murid di sekolah

Modul STEM COVID-19 dibangunkan bantu PDP murid di sekolah

Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) membangunkan Modul STEM COVID-19 bagi membantu para guru mendidik murid-murid tentang peri pentingnya penjagaan kebersihan diri serta impaknya terhadap penaakulan moral para murid.

Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak FPP UMS, Dr. Connie Cassy Ompok berkata, modul yang berasaskan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) itu adalah hasil inspirasi daripada Geran Penyelidikan Khas Pasca Covid-19.

“Modul ini menggunakan pendekatan inkuiri bagi memberi peluang kepada para murid mempelajari isu semasa seperti Covid-19 sekali gus melibatkan diri secara aktif dalam penerokaan setiap akiviti yang melibatkan pembelajaran STEM.

“Pembelajaran kesihatan ini membawa murid-murid meneroka punca seseorang itu mudah dijangkiti penyakit dan kaedah yang boleh menghindarkan diri dari dijangkiti penyakit,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak FPP UMS, Dr. Connie Cassy Ompok

Pembangunan modul tersebut dibangunkan kumpulan penyelidik yang terdiri daripada beliau sendiri, Dr. Noraini Said, Phreoza Dayzency Missie dan Penasihat Projek Prof. Dato’ Dr. Noraini Idris.

Menurut Connie, pada fasa pembangunan modul, timbul persoalan tentang bagaimanakah strategi yang terbaik dalam memperkenalkan STEM kepada para murid di samping membantu mereka untuk mengetahui amalan kebersihan yang perlu diterapkan.

“Bagi menjawab persoalan tersebut, para murid didedahkan dengan sepuluh aktiviti berkaitan kebersihan diri menggunakan pembelajaran STEM seterusnya membantu penaakulan moral murid-murid seiring dengan perkembangan semasa ke fasa peralihan endemik.

“Covid-19 STEM Module itu turut membantu guru dalam memanfaatkan ruang bilik darjah sebagai makmal Sains,” katanya sambil memaklumkan modul berkenaan mampu membantu perkembangan murid secara holistik.

Connie berkata, aktiviti dalam modul itu memenuhi standard pembelajaran tunjang sains seperti menunjukkan sikap ingin tahu, sistematik, berkerjasama dan bertanggungjawab, membuat ramalan berdasarkan aktiviti yang dijalankan, dan menerangkan pemerhatian melalui hasil kerja atau lisan.

“Antaranya ialah aktiviti yang dikenali sebagai Pertumbuhan Bakteria (Growing Bacteria) yang menyaksikan murid mampu mengenali nama bentuk bakteria seperti Cocci, Bacilli, Vibrio dan Spirochaete.

“Selain itu terdapat juga aktiviti calit dan lihat (Swab and See), iaitu sebuah aktiviti yang memberi pendedahan awal untuk melihat bakteria menerusi mikroskop bagi tujuan membuat ramalan, pemerhatian, melaksanakan penilaian dan perbandingan akan objek atau tempat yang amat kotor.

“Bagi aktiviti Making Toy Soap, ia memperkenalkan konsep matematik iaitu kemahiran mengukur di samping mempelajari konsep masa,” tambahnya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Connie memaklumkan bahawa modul ini telah dinobatkan sebagai penerima pingat perak dalam Ekspo Kecemerlangan Rekacipta UMS 2020.

“Ia juga mengharumkan nama UMS apabila digunakan dalam artikel International Conference on Art, Design, Education and Cultural Studies (ICADECS) pada 2 Jun 2021.

“Sehubungan itu, para guru atau ibu bapa yang berminat untuk mengakses modul ini boleh melayari laman web https://online.anyflip.com/hkgyn/hcfd/index.html,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

100 warga emas diraikan sempena Hari Natal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular