HomeUtamaSPM 2021 : Jurang perbezaan peratus lulus sekolah bandar dan luar bandar...

SPM 2021 : Jurang perbezaan peratus lulus sekolah bandar dan luar bandar Sabah semakin kecil

Read Time:2 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Jurang pencapaian di antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar di negeri ini dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin mengecil dengan hanya 0.16 peratus dicatatkan pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Tah Nia Jaman berkata, kadar kelulusan sebanyak 89.84 peratus adalah melibatkan 151 buah sekolah di luar bandar di Sabah manakala 90 peratus merupakan pencapaian bagi 60 sekolah bandar dalam SPM 2021.

“Sebanyak 211 sekolah yang terbabit dalam peperiksaan SPM 2021 dimana 60 buah sekolah yang terletak di kawasan bandar dengan pencapaian lulus sebanyak 90 peratus.

“Manakala sebanyak 151 sekolah yang terletak di luar bandar pula mencapai kadar lulus 89.84 peratus. Ini menunjukkan jurang perbezaan peratus lulus antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar semakin mengecil iaitu 0.16 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2021 bagi negeri Sabah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin.

Tah Nia berkata, sebanyak lima sekolah luar bandar turut tersenarai sebagai sekolah lonjakan terbaik SPM 2021 di Sabah.

Antaranya adalah SMK Agama Tun Datu Mustapha, Papar; SMK St James Tenghilan, Tuaran; SMK Wakuba, Tawau; SMK Gum-Gum, Sandakan dan SMK Taun Gusi, Kota Belud.

Bagi kawasan bandar katanya, sebanyak enam sekolah tersenarai sebagai lonjakan terbaik SPM 2021 iaitu SM Islamiah Tawau dan SMK Tawau II, Tawau; SMK Elopura, SMK Sung Siew dan SMK Agama Tun Juhar, Sandakan; serta SMK Kolombong, Kota Kinabalu.

Sementara itu, Tah Nia berkata sebanyak 10 sekolah mencatat keputusan terbaik SPM 2021 di Sabah iaitu SM Sains Sabah, SMK Agama Kota Kinabalu dan SMK Agama Tun Ahmadshah, Kota Kinabalu; SMK Agama Mohamad Ali, Ranau; SM Sains Lahad Datu; SMK St Michael, Penampang; SN Islamiah, Tawau; SMK Agama Tun Juhar, Sandakan; serta SMK Agama Tun Datu Mustapha dan SMK Agama Kimanis, Papar.

“Secara keseluruhannya, pencapaian calon SPM negeri Sabah bagi Tahun 2021 yang diukur melalui pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) mencatat GPN 5.35 dengan kadar kelulusan atau layak mendapat sijil 89.76 peratus.

“Bilangan calon lulus semua mata pelajaran sekurang-kurangnya Gred E dalam mata pelajaran diambil adalah seramai 16,689 orang calon iaitu 48.46 peratus pada tahun lalu,” katanya.

Katanya, seramai 253 orang calon berjaya dengan cemerlang memperoleh semua Gred A (A+, A dan A-) pada SPM 2021 di Sabah.

Seramai 34,438 orang calon dari sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan menduduki peperiksaan SPM 2021 di Sabah berbanding 33,454 orang calon pada  2020, iaitu peningkatan seramai 984 orang calon.

Peperiksaan itu yang diadakan pada awal tahun ini dilaksanakan di 315 pusat peperiksaan seluruh Sabah membabitkan 9,583 petugas berbanding 5,305 petugas pada SPM 2020.

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular