PUTATAN : Bantuan yang sesuai akan disalurkan kepada penduduk yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku di Kampung Contoh Petagas di sini malam tadi.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya juga turut meneliti langkah-langkah seterusnya bagi memastikan keperluan mangsa mencukupi termasuk tempat berlindung.
“Bagi perancangan jangka pendek, pihak Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah telah mewujudkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Sri Putatan namun saya dimaklumkan hanya enam keluarga sahaja yang melaporkan diri disitu.
“Tinjauan pada pagi ini saya mendapat maklumbalas ada beberapa keluarga mangsa tinggal menumpang di rumah keluarga mereka yang terdekat,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke kawasan kejadian kebakaran di sini pagi tadi.
Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata, bagi perancangan jangka panjang, pihaknya akan mendapatkan butiran laporan secara terperinci sebelum penyaluran bantuan lain disalurkan Kerajaan.
“Kita akan lihat bagaimana Kerajaan boleh membantu mereka berdasarkan kriteria sama ada mungkin ditempatkan menerusi bantuan perumahan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diumumkan Ketua Menteri baru-baru ini,” katanya.
Semalam lebih 10 buah rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9.20 malam dan pasukan bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal api daripada merebak.