HomeUtamaPembinaan Klinik Kesihatan Mansiat perlu disegerakan - Shahelmey

Pembinaan Klinik Kesihatan Mansiat perlu disegerakan – Shahelmey

Read Time:1 Minute, 40 Second

KENINGAU: Klinik Kesihatan Mansiat yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini perlu disegerakan pembinaannya bagi memastikan rutin perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, setakat ini operasi klinik berkenaan masih berjalan dengan menggunakan perkhidmatan klinik bergerak dan menggunakan dewan masyarakat sebagai alternatif lain.

Beliau yang juga Exco Kesihatan negeri berkata, pihaknya dalam masa sama turut meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengambil tindakan segera bagi mengatasi keperluan terbabit.

“Saya difahamkan operasi Klinik Kesihatan Mansiat masih dijalankan melalui klinik bergerak dan dewan masyarakat sebagai fasiliti alternatif untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada orang awam.

“Saya menyeru kepada KKM untuk memberi perhatian dan juga tindakan segera bagi tujuan pembinaan semula Klinik Kesihatan Mansiat.

“Ianya bagi memastikan penduduk di sekitar kawasan tersebut masih akan dapat perkhidmatan kesihatan dalam keadaan lengkap dan selesa,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Prihatin Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat daerah Keningau di Dewan Taman Kali, Keningau di sini kelmarin.

Untuk rekod, Klinik Kesihatan Mansiat, Jalan Tulid, Sook itu musnah dalam kebakaran pada Selasa lalu.

Terletak kira-kira 40 kilometer dari Pekan Keningau, fasiliti kesihatan itu difahamkan dibina pada 1970-an menggunakan struktur kayu.

Terdahulu, dalam perkembangan berasingan, Shahelmey berkata kementeriannya sentiasa berusaha dalam menambahbaik perkhidmatan mereka dalam membantu masyarakat.

Katanya, pemimpin-pemimpin masyarakat perlu bersama-sama memainkan peranan dalam membantu masyarakat terutamanya dalam pengemaskinian data di kawasan mereka.

“Saya mengambil kesempatan untuk turun ke daerah Keningau dan Nabawan untuk melihat sendiri keadaan masyarakat kita dan melihat hasil kerja daripada Jabatan Kebajikan di daerah ini untuk memahami sekiranya ada lagi peluang-peluang penambahbaikkan dalam perkhidmatan berkaitan kebajikan kepada rakyat di negeri Sabah.

“Pemimpin-pemimpin masyarakat setempat perlu sama-sama membantu pihak Kerajaan dalam pengemaskinian data penduduk setempat agar tiada rakyat  tercicir daripada menerima bantuan bagi yang layak,” katanya.

Sebanyak sembilan Program Prihatin KPMKR akan dilaksanakan di daerah-daerah yang berbeza bagi menyantuni golongan rentan di negeri ini.

Dalam program berkenaan, bakul makanan akan diberikan kepada penerima-penerima bantuan.

RELATED ARTICLES
Utama

Australia perkukuh hubungan kerjasama dengan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya