Sabah eksport RM16.16 juta koko produk koko

Read Time:3 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Sabah selaku negeri utama pengeluar biji koko negara, mengeksport sejumlah RM16.16 juta koko dan produk-produk koko pada tahun lalu manakala daripada jumlah tersebut, nilai eksport coklat adalah sebanyak RM7.72 juta atau 10.6%.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tahun lalu Sabah menyumbang 59 peratus daripada jumlah pengeluaran biji koko negara, iaitu sebanyak 540 tan metrik dan menyumbang kepada 57 peratus atau kira-kira 3,444 hektar daripada keluasan tanaman koko negara seluas 6,000 hektar.

“Sehingga hari ini Sabah masih menjadi penyumbang utama bagi industri koko di seluruh negara sama ada dari segi keluasan mahu pun pengeluaran biji koko mentah yang bermutu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan Anugerah 2021 Cocoa of Excellence Award kepada Poimon Dangkat dari Kota Marudu sempena Pesta Koko Sabah 2022 yang diadakan di Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu, hari ini.- Foto ihsan JKM
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melawat gerai jualan produk koko oleh usahawan dan Industri Koko Malaysia sempena Pesta Koko Sabah 2022 yang diadakan di Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu, hari ini. -Foto ihsan JKM
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melawat gerai jualan produk koko oleh usahawan dan Industri Koko Malaysia usempena Pesta Koko Sabah 2022 yang diadakan di Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu, hari ini. Kelihatan model yang disolek untuk lakonan ngeri (make-up effect) menggunakan alat solek yang berasaskan produk koko. -Foto ihsan JKM

“Sebanyak lima daerah menjadi kawasan penanaman koko yang aktif di Sabah iaitu Ranau, Kota Marudu, Tenom, Kota Belud dan Tambunan”, katanya ketika merasmikan Pesta Koko Sabah 2022 di Imago Shopping Mall, hari ini.

Katanya, Kerajaan Sabah komited memberi sokongan untuk membantu pengusaha-pengusaha ladang koko di negeri ini bagi mendapatkan kawasan tanah sekiranya ada keperluan untuk mengembangkan dan memperluaskan penanaman koko ini.

Hajiji optimis, sejajar dengan pemulihan ekonomi, kegiatan hiliran koko dijangka akan terus berkembang dengan peningkatan nilai produk separa proses koko dan produk akhir koko.

Justeru katanya, usaha-usaha berterusan perlu dilakukan oleh pihak berkaitan khususnya Lembaga Koko Malaysia (LKM) sebagai peneraju utama koko Malaysia, untuk memastikan perkembangan berterusan koko sebagai tanaman komoditi ketiga terbesar di negara ini.

Menurutnya, pelbagai strategi telah dirangka bagi memastikan industri koko berupaya kekal sebagai satu aktiviti ekonomi yang berdaya saing dan berdaya tahan, seterusnya menyumbang kepada pendapatan negara.

Beliau berkata, sejajar dengan halatuju strategi jangka panjang bagi meningkatkan sumbangan terhadap ekonomi dan pendapatan negara, strategi untuk meningkatkan penggunaan koko tempatan menerusi pelbagai medium promosi akan terus dilaksanakan serta dipergiatkan.

“Saya difahamkan pengeluaran biji koko di Sabah telah menyumbang kepada permintaan biji koko premium yang diperlukan oleh pengusaha coklat Bean-to-Bar (proses biji koko kering hingga produk coklat), pengusaha coklat Single Origin (coklat yang dihasilkan dari biji koko yang hanya dari satu lokasi) dan Artisanal Chocolate Pengusaha terbabit mengeluarkan coklat premium untuk pasaran niche (pasaran untuk permintaan consumer yang spesifik/berkualiti tinggi) yang mana walaupun jumlah yang kecil tetapi harga atau nilai produk adalah tinggi.

“Ini bermakna produk hiliran koko amat memberi impak besar kepada ekonomi negeri
jika ia terus dipelbagaikan. Saya dimaklumkan industri hiliran di Sabah kini terdiri daripada lima syarikat pengilang coklat dan konfeksi koko atau makanan berasaskan koko serta 32 usahawan coklat tempatan.

“Pada tahun 2021, nilai jualan usahawan coklat di Sabah berjumlah RM137,487. Saya berharap usaha ini akan digandakan lagi supaya lebih ramai pengusaha produk hiliran koko diwujudkan di Sabah”, katanya.

Hajiji berharap LKM akan terus berusaha mempromosikan produk industri hiliran koko yang dihasilkan usahawan di Sabah, agar dikenali di seluruh negara sekaligus dapat menandingi coklat keluaran antarabangsa.

Beliau juga berharap pengusaha koko dan coklat di Sabah akan terus meningkatkan pengeluaran dan mengeluarkan lebih banyak varieti produk berasaskan koko yang unik dan bercirikan bahan mentah daripada Sabah dan imej Sabah.

“Produk-produk ini boleh dijadikan produk pelancongan tambahan kepada negeri Sabah seperti coklat berintikan Sabah Tea, coklat berintikan Madu Kelulut dan coklat single origin Kota Marudu. Selain produk-produk coklat dipakejkan menggunakan produk tradisi dan imej ikon Sabah”, katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.