HomeIsu tempatanPeniaga di Kundasang dan Pekan Nabalu kini giat pulih ekonomi

Peniaga di Kundasang dan Pekan Nabalu kini giat pulih ekonomi

Read Time:2 Minute, 50 Second

Oleh NORMIMIE DIUN / Foto YUSOF MOHAMAD

RANAU: Sejak sempadan dibuka pada 1 April lalu memberi peluang kepada pelancong-pelancong dalam dan luar negara untuk berkunjung ke destinasi-destinasi pilihan mereka termasuklah ke daerah Kundasang dan Pekan Nabalu yang semestinya memberikan pengalaman terindah buat yang pernah mengunjunginya.

Kundasang yang terletak di kaki Gunung Kinabalu, kira-kira 92 kilometer dari Kota Kinabalu merupakan kawasan pelancongan yang sangat menarik dengan udaranya yang sejuk dan nyaman, alam semulajadi yang indah, etnik dan budaya masyarakat yang unik serta banyak sayur-sayuran, buah-buahan segar serta bunga-bunga pelbagai jenis yang cantik juga ada di tanam dan di jual di sana.

Selain pertanian adalah sumber utama pendapatan masyarakat di Kundasang, sektor pelancongan pula adalah sumber pendapatan kedua bagi mereka.

Tinjauan krew Sabah Media News ke Kundasang baru-baru ini mendapati sektor ekonomi penduduk di situ mulai pulih dan rancak dijalankan, yang mana mereka juga turut terkesan terutamanya yang menjalankan aktiviti perniagaan sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun yang lalu dan semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Terdahulu, dalam perjalanan ke Kundasang, kelihatan aktiviti perniagaan di Pekan Nabalu juga semakin rancak dan kebanyakan para peniaga menarik nafas lega dengan Kerajaan Sabah yang prihatin sentiasa membantu mereka semasa pandemik dan pasca pandemik untuk meningkatkan semula pendapatan mereka.

Pekan Nabalu yang terletak kira-kira 73 kilometer dari Kota Kinabalu, sektor pertanian dan pelancongan juga dilihat sebagai sumber pendapatan penduduk di kawasan itu.

Antara produk yang dijual di Pekan Nabalu itu sama seperti yang terdapat di pekan Kundasang, selain sayur-sayuran dan buah-buahan, ada juga makanan dan kuih-kuih tradisional serta pakaian tradisional dan barangan kraftangan suku kaum Kadazandusun.

Menurut Maureen Anting, 52, beliau yang menjual pakaian, kraftangan dan buah-buahan selama 20 tahun di gerai panjang Pekan Nabalu meluahkan rasa syukur kerana diberi kesempatan untuk meneruskan kegiatan perniagaan mereka di sana.

“Selama PKP dilaksanakan, walaupun kami juga terkesan tapi kami berusaha untuk teruskan kehidupan seperti menanam sayur-sayuran dan menoreh getah pada ketika itu.

“Syukur ada juga kerajaan membantu kami pada masa itu disebabkan kami terpaksa tutup kedai seperti yang diarahkan kerana penularan kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat.

“Kini sejak negara beralih ke fasa endamik, semua aktiviti perniagaan sudahpun dapat dijalankan, kami mengambil peluang ini meningkatkan usaha menarik kembali pelanggan kami terutamanya para pelancong yang semakin ramai berkunjung ke sini,” katanya.

Bagi peniaga makanan tradisional Josephine Michael, 35, berkata, beliau juga turut terkesan semasa pandemik COVID-19 kerana terpaksa menutup gerainya walaupun pada ketika itu aktviti menjual barang makanan boleh dijalankan tetapi memandangkan beliau mempunyai dua orang anak lelaki yang masih kecil, beliau terpaksa menutup gerainya.

“Saya terpaksa tutup gerai kerana demi keselamatan anak-anak saya sebab saya selalu membawa anak-anak saya di gerai disebabkan tiada siapa yang menjaga di rumah, pada masa itu jangkitan kes COVID-19 juga meningkat jadi kami tidak pergi ke gerai, kami berasa selamat berada di rumah.

“Pada masa PKP, aktiviti yang kami jalankan seperti menanam sayur-sayuran dan buah nenas,” kata Josephine.

Kini, hasil jualan makanan Josephine semakin meningkat kerana adanya kehadiran ramai pelancong yang singgah ke pekan itu.

Beliau juga turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana hingga ke hari ini tidak putus-putus memberikan bantuan dari pelbagai cara bagi meningkatkan ekonomi usahawan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Teknologi membran selesai masalah pelbagai sektor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular